fbpx
Wan Aminordin (kiri) dan pegawai JAS memeriksa tahap bunyi enjin sebuah lori pada Ops Gerak Bersepadu Kenderaan Motor di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu semalam. Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN/KOSMO!

Lori, trak pikap paling banyak tak patuh had pelepasan asap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan mengesan lori dan trak pikap yang menggunakan enjin diesel merupakan jenis kenderaan paling yang tidak mematuhi had pelepasan asap.

Pengarahnya, Wan Aminordin Wan Kamaruddin berkata, operasi yang dijalankan pihaknya malam tadi mendapati, kenderaan terbabit dikesan melakukan pelepasan asap melebihi 50 Unit Asap Hartridge (50 HSU).

Menurutnya, daripada 460 pelbagai jenis kenderaan yang diperhati, sebanyak 210 kenderaan berenjin diesel ditahan untuk saringan visual.

“Sebanyak 22 kenderaan yang menggunakan enjin diesel telah dikenakan tindakan notis arahan untuk pemeriksaan semula di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) mengikut Seksyen 48A, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127).

“Selain itu, sebanyak 15 pemilik lori dan trak pikap turut dikenakan kompaun. Operasi yang dijalankan hari ini (semalam), memberi tumpuan kepada pemeriksaan pelepasan asap kenderaan selain motosikal yang menghasilkan bunyi bising melebihi had yang ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar selepas Ops Gerak Bersepadu Kenderaan Motor Sempena Sambutan Hari Ozon Peringkat Kebangsaan 2025 di Jalan Kuala Krai di sini semalam.

Wan Aminordin memberitahu, menerusi operasi itu, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap tiga bengkel yang mengendalikan servis pendingin hawa di daerah kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Udara Bersih) 2014.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan secara rawak terhadap tiga bengkel terbabit mendapati premis tersebut menggunakan gas klorofluorokarbon (CFC) yang berlebihan.

“Dalam operasi itu, pihaknya turut mengambil sampel petrol dan diesel di dua buah stesen minyak untuk memeriksa kandungan plumbum, sulfur dan sebagainya sama ada mematuhi standard atau sebaliknya.

“Sebanyak 71 kenderaan telah dikompaun sebanyak RM2,000 kerana tidak mematuhi standard JAS dan 124 notis arahan mengikut Seksyen 48A dikeluarkan sepanjang tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI