fbpx
Anak kelahiran Pulau Pinang, Shameera Nasreen yang dinobatkan Ikon Belia India Muslim baru-baru ini seorang yang aktif dalam platform pembangunan belia, diplomasi serantau dan dialog antarabangsa sehingga pernah dianugerah Top 10 Asia Young Talent Awards.

Shameera ‘suara’ wanita India Muslim, aktif di platform lokal, global

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DALAM kepelbagaian masyarakat Malaysia, komuniti India Muslim terkenal dengan warisan budaya yang kaya, nilai kekeluargaan yang kuat dan pegangan tradisi yang mendalam.

Namun bagi ramai wanita muda dalam komuniti tersebut, ruang untuk tampil sebagai pemimpin atau menjadi suara masyarakat sering kali terhad dek kerana norma sosial, persepsi konservatif dan kekangan budaya yang telah lama wujud.

Pun begitu, bagi Shameera Nasreen Ahamed Noordeen, 26, batasan tersebut menjadi pendorong dan peluang untuknya melangkah lebih jauh.

Dilahirkan di Pulau Pinang, gadis yang mesra disapa Shameera ini tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti dia akan menjadi suara isu-isu serta mewakili Malaysia di pentas serantau dan antarabangsa.

Buktinya, hari ini, wanita berketurunan India Muslim itu berdiri sebagai salah seorang pemimpin belia muda Malaysia yang paling aktif dalam platform pembangunan belia, diplomasi serantau dan dialog antarabangsa.

Kejayaan demi kejayaan diukir Shameera bukan saja dalam negara, malah mencakupi global. Terbaharu, dia dianugerahkan Ikon Belia India Muslim. Terdahulu, wanita muda ini juga menerima Top 10 Asia Young Talent Awards dan 4th Asean Youth Dialogue & ASEAN Leaders’ Interface 2025.

Shameera juga cemerlang dalam penglibatan pada ASEAN Youth Leadership Conference 2025 dan Democracy Youth Summit Japan 2025 sebagai panelis isu kesaksamaan gender dan kepimpinan belia.

Dia turut pernah menyertai 78th Know India Programme sebagai satu-satunya peserta wanita dari Malaysia selain Malaysia–Iran Winter Camp dan Malaysia–India Exchange Program.

Menyorot penglibatan aktifnya, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Sumber Asli) dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) itu mengakui minatnya sebenarnya sudah bermula sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya mula aktif dalam pelbagai kegiatan kepimpinan dan program kemasyarakatan sejak di sekolah rendah lagi. Minat itu berkembang di sekolah menengah dan berterusan sehingga ke universiti, di mana saya semakin mendapat ruang untuk menyuarakan pandangan terutama berkaitan hak dan peranan wanita,” ujarnya.

Shameera dianugerahkan Ikon Belia India Muslim pada program Strengthening Indian Muslim Roots and Aspiration (Sirat) anjuran Mukmin dan MMYC di Butterworth, Pulau Pinang pada November lalu.

BAGI Shameera, titik tolak yang paling besar apabila dirinya diberi peluang untuk membahaskan isu dan hak wanita di platform berprestij seperti Parlimen Wanita Muda dan Sidang Wanita Pulau Pinang.

“Pengalaman tersebut membuka mata saya tentang besarnya jurang dan cabaran yang masih dihadapi wanita, khususnya wanita muda dari komuniti India Muslim,” katanya kepada K-Wanita.

Jelasnya, ketika itu, baru dia sedar ramai daripada mereka (wanita) tidak diberikan peluang yang sepatutnya, sama ada dalam pendidikan, kepimpinan mahupun pembangunan diri.

Bercerita lanjut, penglibatan anak muda ini diteruskan dalam Majlis Belia India Malaysia (MIYC) yang memberikannya platform lebih kukuh untuk memperjuangkan agenda pembangunan wanita dan belia India Muslim.

Di sana, dia belajar bahawa suara wanita muda sangat penting dan mampu membawa perubahan jika diberikan ruang serta sokongan.

“Di MIYC, ia memperkukuh lagi komitmen saya dalam advokasi wanita dan belia India.

“Saya aktif di peringkat cawangan, daerah, negeri dan kebangsaan dalam membangunkan platform yang memberi peluang sebenar kepada wanita muda untuk bersuara, memimpin dan membina keyakinan diri.

“Peranan yang paling memberi impak kepada saya ketika mana saya diberi kepercayaan memimpin Konvensyen Beliawanis India Malaysia 2025 sebagai pengarah program.

“Memikul tanggungjawab ini memberi saya ruang untuk mengetuai sebuah konvensyen berskala nasional yang menghimpunkan wanita India dari seluruh negara.

“Melalui konvensyen ini, kami membuka pintu kepada lebih ramai wanita muda untuk diberi tempat, peluang dan suara yang sering kali tidak tersedia untuk mereka,” ujarnya.

Titik tolak yang paling besar apabila dirinya diberi peluang untuk membahaskan isu dan hak wanita di platform berprestij seperti Parlimen Wanita Muda dan Sidang Wanita Pulau Pinang.

Jelasnya, sebagai ketua, dia perlu memastikan konvensyen ini bukan sekadar acara, tetapi satu gerakan yang membawa mesej kepimpinan, keyakinan, solidariti dan masa depan wanita India di Malaysia.

Kejayaan program itu membuktikan bahawa apabila wanita diberi ruang dan kepercayaan, mereka mampu mencipta impak besar bukan sahaja dalam komuniti mereka tetapi juga di peringkat nasional.

Kini, Shameera berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan di Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) dan terlibat secara langsung dalam membina ekosistem belia negeri yang lebih tersusun, berstrategi dan berimpak.

“PYDC berfungsi sebagai pemacu pembangunan belia melalui kerjasama antara agensi kerajaan, pertubuhan belia, institusi pendidikan dan komuniti akar umbi.

“Tugas saya merangkumi penyelarasan program, hubungan pemegang taruh serta memastikan inisiatif belia negeri berjalan dengan objektif yang jelas dan inklusif,” katanya.

Diaju mengenai pelbagai pengiktirafan dalam dan luar negara diterimanya, Shameera menzahirkan rasa syukur.

Baginya, setiap anugerah mahupun pengiktirafan bukan sekadar simbol kejayaan, tetapi menjadi tanda perjalanan, cabaran dan harapan yang dijunjung sebagai seorang wanita muda daripada komuniti India Muslim.

Jelasnya, salah satu penghargaan yang paling bermakna apabila dia tersenarai dalam Top 10 Asia Young Talent Awards, satu platform serantau yang mengiktiraf pemimpin muda Asia yang membuat perubahan di lapangan.

“Ia amat istimewa kerana membuktikan bahawa suara dan usaha dari komuniti kecil di Malaysia juga mampu bergema di peringkat Asia.

“Saya juga diberi kepercayaan menerima Tokoh Beliawanis MIYC, satu anugerah yang melambangkan perjalanan panjang saya bersama wanita muda India di seluruh negara.

“Ia mengingatkan saya bahawa perubahan bermula apabila kita berani memberi ruang kepada wanita muda untuk tampil ke hadapan.

“Saya juga kemudian menerima penghargaan The Changemakers Awards yang hadir ketika saya giat melaksanakan projek akar umbi, khususnya dalam advokasi dan pembangunan wanita belia.

“Ia menjadi bukti bahawa walaupun perubahan kecil tidak selalu disedari, namun ia mampu membawa impak besar apabila dilakukan dengan konsisten dan penuh keikhlasan,” katanya.

SHAMEERA bersama ibunya yang banyak memberikan semangat dan inspirasi dalam setiap apa yang dilakukannya.

Mengenai penganugerahan Ikon India Muslim anjuran Majlis Ukhuwah India Muslim Nasional (Mukmin) dan Muslim Youth Club (MMYC) yang diterima bulan lalu, Shameera berasa sangat dihargai dan lebih bermakna kerana ia datang daripada komunitinya sendiri.

“Ia amat besar ertinya kerana bukan hanya menilai pencapaian, tetapi mengangkat kisah dan aspirasi komuniti India Muslim yang sering kurang diberi perhatian,” tuturnya.

Akuinya, keseluruhan perjalanannya itu mengajar dia bahawa anugerah bukanlah noktah kejayaan, tetapi satu amanah untuk terus berkhidmat.

Dalam perjalanan kerjaya dan penglibatannya dalam pembangunan belia serta komuniti, terdapat beberapa cabaran yang sering tidak kelihatan dari luar tetapi memberi kesan besar kepada peranannya sebagai wanita muda India Muslim.

Jelas Shameera, salah satu cabaran terbesar adalah isu kesaksamaan gender yang masih sangat ketara dalam komuniti India Muslim.

“Walaupun semakin ramai wanita berpendidikan tinggi dan bekerja, ramai yang masih berdepan ekspektasi tradisi bahawa selepas berkahwin, mereka perlu meninggalkan semuanya termasuk kerjaya, penglibatan sosial, kepimpinan dan impian yang pernah dibina.

“Ekspektasi ini sering menyebabkan wanita tidak diberi peluang yang sama untuk berkembang.

“Sebagai seorang wanita muda yang aktif dalam kepimpinan, saya sering berhadapan pandangan stereotaip bahawa wanita tidak sepatutnya bekerja terlalu keras, muncul dalam ruang kepimpinan atau mempunyai suara yang kuat.

“Cabaran ini memerlukan ketahanan mental, keyakinan diri dan sokongan yang kukuh untuk terus mara ke hadapan tanpa rasa bersalah atau terkekang,” katanya.

Keduanya, kerjaya dalam pembangunan belia dan advokasi memerlukan masa yang panjang, komitmen yang berterusan dan kehadiran yang konsisten di akar umbi.

Pada masa yang sama, dia perlu memastikan kerja komunitinya dapat diteruskan dengan impak yang sama.

“Rutin harian saya melibatkan perancangan program, mesyuarat, kerja lapangan dan pembinaan jaringan profesional. Ramai tidak nampak bahawa untuk memastikan setiap program berjaya, terdapat banyak pengorbanan dari segi masa, tenaga dan pengurusan emosi.

“Bagi memastikan kedua-duanya tidak terabai, saya perlu sentiasa mempunyai kejelasan matlamat dan disiplin masa yang kukuh,” katanya yang kini mengikuti pengajian Sarjana Sains Marin di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Kongsinya, sebagai wanita muda, dia sering perlu bekerja dua kali ganda lebih keras untuk membuktikan bahawa setanding dengan rakan lelaki atau pemimpin yang lebih berusia.

Jelasnya, dalam beberapa situasi, pandangan atau cadangannya hanya diterima setelah diuji atau disemak berkali-kali, sedangkan cadangan yang sama lebih mudah diterima apabila disuarakan lelaki.

“Tekanan ini bukan sahaja berlaku dalam komuniti India Muslim, tetapi juga dalam platform nasional.

“Namun cabaran ini juga membentuk keteguhan karakter saya bahawa kepimpinan bukanlah soal umur atau gender, tetapi tentang kemampuan, komitmen dan integriti,” katanya.

Menutup perkongsian, Shameera yang boleh berkomunikasi empat bahasa (Melayu, Mandarin, Tamil & Inggeris) memiliki perancangan jangka panjang tersendiri.

Beritahunya, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, fokus utamanya adalah untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai salah seorang pemimpin belia yang berprestasi tinggi serta memberi sumbangan lebih besar dalam sektor kerajaan.

“Saya percaya platform kerajaan membolehkan saya membawa agenda pembangunan belia dan wanita ke tahap yang lebih sistematik dan berimpak luas.

“Salah satu matlamat jangka panjang saya untuk memastikan lebih ramai wanita India Muslim dapat memasuki arus perdana dari segi pendidikan, kepimpinan, pekerjaan profesional dan penglibatan dasar.

“Ramai antara mereka memiliki potensi besar tetapi terhad oleh norma sosial, ekspektasi keluarga dan kekurangan akses kepada peluang.

“Saya juga berhasrat untuk membangunkan lebih banyak program kepimpinan wanita, jaringan profesional, biasiswa komuniti serta platform advokasi untuk memastikan suara wanita India Muslim didengari dan dihormati di semua peringkat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN