KUALA LUMPUR – Penemuan objek dipercayai bayi di dalam lori sampah menggemparkan penduduk di Bukit Jalil, di sini hari ini.
Lebih memilukan, bayi yang dipercayai baru lahir itu ditemukan dalam keadaan menyerupai posisi fetus dan dipenuhi air buangan di bahagian belakang kenderaan tersebut.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Aidil Bolhassan berkata, seorang pekerja syarikat pembersihan menjumpai bayi itu ketika sedang memunggah sisa sampah.
“Kes masih dalam siasatan. Perkembangan akan dimaklumkan,” katanya hari ini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Elfi di talian 011-1004 8773 atau Hotline Polis Daerah Cheras di 03-9284 5050, Hotline Polis Kontinjen Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berhampiran.
Terdahulu, dua video masing-masing berdurasi lapan dan 14 saat tular di media sosial memaparkan objek menyerupai bayi ditemukan di dalam timbunan sisa dalam sebuah lori sampah. – KOSMO! ONLINE














