SINGAPURA – Seorang pemandu e-hailing di Singapura mendedahkan lebih banyak butiran berhubung pertelingkahan yang berlaku antara dia dengan seorang pemandu kereta elektrik (EV) yang didakwa menamparnya dua kali, lapor laman berita Stomp hari ini.
Kejadian itu dirakam melalui video papan pemuka kereta e-hailing tersebut di Park Crescent pada 31 Oktober lalu, sekitar pukul 6.24 petang (waktu tempatan).
“Saya sedang menghantar penumpang ke destinasinya apabila EV di hadapan saya itu berhenti. Kereta itu tidak bergerak walaupun lampu hijau dan tiada kenderaan lain.
“Pemandu itu marah apabila saya membunyikan hon dan dia keluar dari keretanya. Dia tanya saya, apa masalahnya?
“Saya berkata, kenapa awak tidak bergerak sedangkan tiada kereta di lorong? Dia kemudian menampar saya dua kali. Muka saya menjadi merah,” kata pemandu tersebut.
Ketiadaan perkembangan dalam kes itu walaupun rakaman papan pemuka telah dimuat naik di internet, mendorong pemandu tersebut untuk berkongsi kejadian itu dengan Stomp.
Sebagai respons kepada pertanyaan Stomp, pihak polis mengesahkan bahawa satu laporan telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan. – AGENSI














