TOKYO – Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tahap tertinggi bahawa gempa bumi berskala mega dengan kekuatan mencapai 8 magnitud atau lebih berkemungkinan berlaku susulan gegaran 7.5 magnitud Isnin lalu, lapor laman berita Independent semalam.
Amaran itu merangkumi kawasan kira-kira 1,300 kilometer dari pantai timur laut Jepun, bermula dari Chiba di sebelah timur Tokyo hingga ke Hokkaido.
Anggaran kerajaan menyatakan bahawa satu lagi gempa bumi mega luar pesisir di Hokkaido-Sanriku berisiko mencetuskan tsunami setinggi sehingga 30 meter dan membunuh 199,000 orang.
Gempa bumi mega itu boleh memusnahkan sehingga 220,000 rumah dan bangunan serta menyebabkan kerugian ekonomi dianggarkan sehingga 31 trilion yen (RM815 bilion), demikian menurut anggaran kerajaan.
Justeru, pihak berkuasa menggesa mereka yang tinggal berhampiran pantai Pasifik supaya kekal berwaspada sepanjang minggu akan datang dan menyediakan pelan pemindahan sekiranya perlu meninggalkan rumah.
Kawasan yang terlibat di bawah amaran tersebut merangkumi 182 daerah dari Hokkaido hingga ke wilayah Chiba.
Namun, pegawai-pegawai berkata, nasihat itu bukan ramalan, manakala kebarangkalian gempa berskala 8 atau lebih besar hanyalah kira-kira satu peratus.
Tambah mereka, amaran itu diharapkan berfungsi sebagai peringatan awal bagi kebarangkalian gempa yang boleh membawa kemusnahan seperti bencana 2011 yang mengorbankan hampir 20,000 orang dan memusnahkan sebuah loji nuklear.
Gempa bumi mega adalah gempa bumi berukuran 8 magnitud atau lebih, yang mampu menyebabkan lebih banyak kerosakan daripada gempa bumi biasa terutamanya jika berlaku berhampiran permukaan atau di kawasan berpenduduk padat.
Perdana Menteri Sanae Takaichi menggesa orang ramai supaya bersiap sedia dengan berkata: “Sila ambil langkah pencegahan bencana yang sesuai berdasarkan prinsip bahawa anda bertanggungjawab untuk melindungi nyawa sendiri.”
Gempa bumi pada pukul 11.15 malam (waktu tempatan) Isnin lalu di Lautan Pasifik, kira-kira 80 kilometer dari pantai Aomori mencederakan sekurang-kurangnya 34 orang.
Ia turut mencetuskan amaran tsunami meluas, dengan ombak setinggi 70 sentimeter dilaporkan berlaku di beberapa komuniti pesisir.
Semua amaran kemudiannya ditarik balik, manakala loji tenaga nuklear di seluruh timur laut Jepun menjalani pemeriksaan segera sebagai langkah berjaga-jaga.
Notis dikeluarkan kelmarin itu merupakan kali pertama amaran tahap tertinggi seumpamanya dikeluarkan sejak sistem amaran tersebut diperkenalkan pada tahun 2022.
Menurut laporan media tempatan, kerajaan mengesyorkan orang ramai supaya kekal berjaga-jaga selama kira-kira seminggu.
Risiko gempa susulan dan tsunami adalah paling tinggi segera selepas gempa utama berlaku dan beransur-ansur berkurang dari masa ke masa.
Dalam menjelaskan nasihat itu, JMA berkata, gempa bumi dengan kekuatan 9 magnitud pada 11 Mac 2011 yang memusnahkan sebahagian besar pantai utara Jepun, berlaku dua hari selepas gempa 7.3 magnitud berlaku di luar pantai timur Iwate. Ia merupakan salah satu kawasan paling teruk terjejas dalam bencana itu.
Gempa 2011 itu mencetuskan tsunami yang melanda bandar-bandar pesisir utara di wilayah Iwate, Miyagi dan Fukushima.
Tsunami yang mencecah lebih 15 meter di beberapa kawasan itu menghentam dan memusnahkan loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, menimbulkan ketakutan mendalam terhadap radiasi yang masih berlarutan hingga kini. – AGENSI














