BESUT – Dua pemandu lori masing-masing didenda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua kesalahan memindahkan 13,660 kilogram (kg) karkas babi bernilai keseluruhan RM320,000 secara haram di Kampung Apal di sini pada empat bulan lalu.
Majistret Nurliyana Md. Zukri menjatuhkan hukuman demikian selepas kedua-dua tertuduh, S. Reneshdevan, 35, da M. Asokkumar, 47, membuat pengakuan bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Reneshdevan dan Asokkumar didakwa memindahkan 6,840 kg karkas babi tanpa kebenaran bertulis Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu menggunakan sebuah lori.
Mereka turut didakwa memindahkan 6,820 kg karkas babi yang juga tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggunakan sebuah lori lain.
Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan Reneshdevan dan Asokkumar di tepi jalan Kampung Apal, Jalan Kota Bharu – Kuala Terengganu di sini pada pukul 4.45 pagi, 9 Ogos lalu.
Mereka didakwa mengikut Perenggan 4 (1)(b) Perintah Menteri Besar bagi Kawasan Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Dan Hawar Berdarah bagi Negeri Terengganu yang memperuntukkam hukuman denda RM15,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE














