ABU DHABI – Strategi berani dan konsistensi tinggi membolehkan McLaren menamatkan Formula Satu (F1) 2025 dengan penuh gaya apabila merangkul gelaran konstruktor serta melengkapkan kejuaraan berganda buat kali pertama sejak 1998.
Perlumbaan terakhir Grand Prix (GP) Abu Dhabi di Litar Yas Marina bermula kemas apabila Oscar Piastri memintas Lando Norris pada pusingan pembukaan, sekali gus memberikan McLaren kelebihan taktikal awal untuk mengawal tempo perlumbaan.
Pasukan itu kemudian membuat pilihan pit stop yang agresif, termasuk keputusan menukar tayar Norris pada pusingan ke-17 sebelum kembali memanggilnya masuk pada pusingan ke-41, manakala Piastri hanya berhenti sekali di penghujung perlumbaan.
Ia membuahkan hasil apabila kedua-dua pemandu kembali semula ke kelompok depan, dengan Piastri mengekalkan kedudukan kedua dan Norris berada di tangga ketiga.
Ketua pasukan, Andrea Stella mengakui kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama seluruh organisasi, selain menegaskan McLaren tidak pernah hilang fokus meskipun berdepan tekanan sengit daripada Red Bull dan Verstappen.
“Kami bangga kembali menjadi kuasa besar F1. Semua orang bekerja tanpa henti dan kejayaan ini adalah ganjaran kepada budaya pasukan yang tidak pernah berputus asa,” katanya.
Piastri turut memuji usaha pasukan yang menurutnya menjadi tulang belakang perlumbaan sepanjang musim.
“Kami ambil risiko pada strategi dan ia berbaloi walaupun kami tidak mampu menyaingi kelajuan Max (Verstappen) hari ini. Ia musim yang membanggakan dan saya tidak sabar untuk kembali lebih kuat pada 2026,” ujarnya.
Dengan 14 kemenangan dan 34 podium dikutip dua pemandunya, McLaren muncul juara konstruktor dan turut mencatat kemunculan semula paling dominan sejak era kegemilangan mereka lebih dua dekad lalu.
Stella menegaskan tumpuan pasukan kini beralih sepenuhnya kepada cabaran baharu musim 2026 dan menyatakan kejayaan tahun ini hanya menjadi pemangkin kepada usaha lebih besar pada tahun depan. – AGENSI














