Keputusan Kerajaan Negeri Kelantan untuk mengeluarkan lesen mendulang emas kepada individu mulai tahun depan telah membuatkan ramai juga dalam kalangan rakyat di negeri itu yang teruja untuk memburu logam berharga itu.
Siapa tidak mahu emas, lebih-lebih harga emas 999 ketika ini mencecah sekitar RM550 untuk satu gram, tiba-tiba pihak berkuasa nak bagi lesen untuk aktiviti mendulang emas. Pasti ramai yang mula terbayang ia satu peluang yang baik untuk buat duit.
Pemberian lesen kepada individu itu memang kedengaran menarik, namun ramai juga sebenarnya yang tertanya-tanya, betulkah emasnya ada?
Kalau benar ada, kenapa kerajaan negeri tidak melombong emas tersebut secara lebih sistematik. Atau jumlah emas yang ada tidak mencapai tahap ‘berbaloi’ untuk pelaburan perlombongan secara komersial.
Kalau betul ada emas, baguslah setidak-tidaknya ia akan memberi peluang kepada pendulang emas kecil-kecilan untuk mendapat rezeki.
Memang kita akui ada saja cerita orang-orang kampung yang menjalankan aktiviti mendulang emas di kawasan-kawasan tertentu di Kelantan sebelum ini, namun sejauh mana para pendulang emas terbabit berhasil mendapatkan logam berharga itu.
Khabarnya, ramai dalam kalangan pendulang ini tidak pernah benar-benar mendapat hasil lumayan. Ada yang jumpa, ada yang tidak. Malah kadang-kadang kos mereka membeli peralatan dan untuk pergi mendulang lebih tinggi daripada nilai emas yang ditemui.
Sebab itu kita tertanya-tanya, bila kerajaan negeri umumkan lesen mendulang akan diberi kepada individu dengan bayaran RM100, adakah ia benar-benar satu peluang untuk pendulang emas buat duit atau sekadar menambah kantung kerajaan negeri semata-mata.
Kalau setakat memberi lesen tanpa mengetahui dengan jelas lokasi-lokasi yang berpotensi mempunyai emas, akhirnya ia mungkin sekadar menghabiskan duit, tenaga dan masa mereka yang terlibat tetapi pulangannya entah ke mana.
Paling penting, pihak berkuasa tidak seharusnya dilihat hanya sekadar memberi lesen dan membiarkan semua orang mencuba nasib. Kalau ada emas dapatlah, kalau tiada, pulanglah dengan tangan kosong.
Kalau boleh, pihak kerajaan negeri menyediakan maklumat yang telus kepada mereka yang memohon lesen kelak. Kalau emasnya memang tidak banyak, katakan sahaja tidak banyak.
Jangan sampai sekadar memberi harapan palsu kepada rakyat yang begitu berkobar-kobar untuk memburu logam berharga itu lebih-lebih lagi ketika harganya begitu tinggi ketika ini.
Jujurlah kepada mereka yang memohon lesen mendulang emas itu, kerana bagi mereka ia adalah satu peluang untuk menambah rezeki. Kerajaan negeri pula haruslah telus dan realistik kerana kalau emasnya ada, ia sudah tentu amat baik untuk kedua-dua pihak, tetapi kalau emasnya tidak ada, ia hanya akan membuatkan rakyat menjadi mangsa angan-angan.















