fbpx
NADIA BRIAN

Saya sudah ‘move on’ – Nadia Brian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CURANG dan menduakan suami bukan tuduhan ringan, namun itulah persoalan ditanggung si jelita bernama Nadia Brian. Mungkin kelat di jiwa namun bibirnya masih berupaya mengukir senyuman. Dalam ramah yang tidak perlu dibuat-buat, wanita tinggi lampai membuka lipatan hatinya.

Soal tuduhan yang dilemparkan suaminya, Muizz Nasarudin sebelum ini, pelakon drama Rudy vs Jolie itu sedikit pun tidak menyimpan dendam bahkan mengalihkan semua memori hitam tersebut sebagai titik permulaan dunia baharunya.

Benar, setiap orang inginkan rumah tangga yang harmoni dan berpanjangan hingga ke syurga. Sayangnya, angan-angan tersebut tidak dapat direalitikan dalam pelayaran bahtera perkahwinan Nadia.

Nadia tidak pernah menyalahkan takdir mahupun Muizz berhubung apa yang terjadi dalam rumah tangganya.

Tidak sampai setahun, mahligai indah yang dibina bersama Muizz pada 9 November 2019 berantakan sejak akhir tahun lalu.

Tidak lagi menetap sebumbung, mereka kini menghitung hari menunggu tarikh sebutan kes perceraian di Mahkamah Syariah untuk menoktahkan episod duka tersebut.

Tidak pernah menyesali perjalanan berliku tersebut, empunya nama lengkap Nadia Najwa Mohamed Rashidi menganggap semua yang berlaku sebagai aturan Tuhan agar dirinya kembali muhasabah diri atas kekurangan dan kesilapan lampau.

Tersenyum manis ketika ditebak soalan tentang kontroversi rumah tangganya yang masih tergantung episodnya, Nadia menjawab dia tidak pernah menyalahkan takdir mahupun Muizz dalam masalah tersebut.

PELAKON cantik ini enggan membelenggukan fikirannya dengan masalah rumah tangga yang pernah menghantui dirinya sekitar akhir tahun lalu. –

Reda

Bagaimanapun, pelakon filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda itu tidak menolak antara penyumbang pergolakan rumah tangganya ialah perkenalan yang terlalu singkat bersama Muizz.

“Mungkin tempoh perkenalan dan proses perkahwinan berlaku terlalu singkat. Jadi persefahaman itu tidak mencapai tahap yang sepatutnya. Semua ini takdir dan siapa saya untuk salahkan Tuhan atau individu lain.

“Sudah tertulis perjalanan rumah tangga saya akan berakhir begini. Siapa yang tidak mahu bahagia? Saya reda dan sudah move on,” katanya kepada Pose baru-baru ini.

Ujarnya, dia tidak dapat menipu diri sendiri. Jauh di sudut hatinya turut mengimpikan sebuah perkahwinan yang bahagia dan kekal sehingga ke syurga.

“Apabila sudah jadi begini, saya ambilnya sebagai satu pengajaran dan mulakan hidup baharu. Mudah kata, belajar untuk lebih muhasabah diri, mungkin ada sebab Tuhan berikan ujian ini,” ujarnya.

MENAFIKAN segala tuduhan terutama membabitkan isu kecurangan, Nadia selesa mengambil pendekatan berdiam diri agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.

Bakal berakhir

Ditanya tentang statusnya, Nadia memberitahu dia masih bergelar isteri orang tetapi gelaran tersebut bakal titik penamatnya tidak lama lagi.

“Mahkamah tutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi kes kami pun jadi lambat untuk diselesaikan.

“Saya dan dia juga sudah lama tidak berhubung. Nanti, apabila sudah dapat tarikh daripada pihak mahkamah, semua episod duka ini akan berakhir,” tuturnya.

Saat diaju soalan tentang semua tuduhan yang didakwa oleh Muizz terhadapnya sebelum ini, Nadia lantas menafikan segala yang dilemparkan kepadanya.

“Semua tuduhan tersebut tidak benar. Saya diam bukan kerana salah tetapi tidak suka hendak jaja cerita masalah rumah tangga atau aib orang lain kepada umum.

“Cukuplah antara kami dan Tuhan saja tahu kebenarannya. Sebab saya berpegang kepada prinsip, jangan sibuk sebar cerita orang, risau perkara itu berbalik kepada diri sendiri semula,” tuturnya.

Berbicara tentang perjalanannya sebagai anak seni, Nadia bersyukur masih dihujani tawaran lakonan meskipun dalam tempoh PKP.

MEMEGANG watak Raihana dalam drama Aku Yang Kau Gelar Isteri, aktres berusia 30 tahun itu menyifatkan Raihana sebagai karakter yang paling sukar pernah dijayakan sejak bergelar anak seni lima tahun lalu.

Raihana, relevansi

Terbaharu, drama lakonannya, Aku Yang Kau Gelar Isteri gandingan bersama Sharifah Sakinah dan Datuk Adi Putra sedang hangat ditayangkan dalam slot Samarinda TV3.

Teruja berkongsi, karakter Raihana yang dipegangnya merupakan watak paling sukar pernah dilakonkannya sepanjang bergelar aktres sejak lima tahun lalu.

“Menjadi seorang wanita yang disihir dan ditindas bukanlah satu perkara mudah.

“Ini karakter paling susah yang pernah saya lakukan kerana banyak babak mencabar.

“Tetapi saya gembira kerana dipilih untuk menjadi sebahagian daripada drama tersebut. Alhamdulillah sambutan daripada penonton sangat baik, penat lelah kami pun jadi berbaloi,” ujarnya mengakhiri perbualan.

Bersyukur kerana masih diberi kepercayaan menjadi teruja utama dalam beberapa buah drama, Nadia berkata bukan mudah untuk mengekalkan relevansi sebagai pelakon dalam industri seni tanah air.

“Bagi saya senang untuk berjaya tetapi bukan mudah untuk kekalkannya. Disiplin dan minat harus menjadi pegangan jika mahu kekal dalam industri,” ujarnya.

Foto: MUHAMMAD IQBAL ROSLI
Solekan: Feiruz Sohor
Rambut: Ayum Primadona Makeup (IG: @ayum_primadona_2)
Busana: Yuleza (IG: @yuleza) & Anas Abdullah (IG: @anasabdullah.kl
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN