fbpx
Datuk Rick Ramli

PNB komited terajui inisiatif 10 Juara Bumiputera bawah GEAR-uP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan kerjasama Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) lain komited untuk menerajui inisiatif 10 Juara Bumiputera di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Entiti Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP).

Program tersebut dibentuk untuk melahirkan 10 syarikat Juara Bumiputera, masing-masing dengan permodalan pasaran atau nilai perusahaan sekurang-kurangnya RM500 juta dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Presiden & Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Datuk Rick Ramli menekankan kepentingan usaha strategik itu dengan merujuk kepada fakta bahawa hanya lima daripada 220 syarikat yang disenaraikan di Bursa Malaysia antara tahun 2020 hingga 12 November 2025 adalah milik bumiputera.

Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk pendekatan bersepadu bagi membina juara yang kredibel dan berskala, serta meningkatkan keyakinan pasaran dan pelabur terhadap syarikat bumiputera.

Menerusi program berkenaan, syarikat bumiputera berpotensi tinggi dipilih melalui proses yang jelas dan berstruktur, dengan matlamat menilai kapasiti dan potensi mereka untuk menjadi syarikat bersaiz besar dalam sektor masing-masing.

GLIC akan berganding bahu memberikan sokongan relevan merangkumi pembangunan kapasiti, memudahkan akses pasaran melalui rangkaian luas GLIC, memberikan panduan strategik untuk mempercepatkan pengembangan, dan membangunkan Pelan Penciptaan Nilai dengan pihak pengurusan bagi merangka strategi pertumbuhan yang disesuaikan untuk membuka nilai jangka panjang.

“Selaras dengan mandat dan matlamat PNB, inisiatif 10 Juara Bumiputera mencerminkan komitmen PNB terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif, memastikan perusahaan bumiputera mampu bersaing pada skala besar dan menyumbang secara bermakna kepada daya tahan ekonomi negara,” kata Rick.

Program Juara Bumiputera, sebuah konsep di bawah inisiatif PuTERA35, dan diselia oleh Majlis Ekonomi Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri turut diperkukuh dengan peruntukan RM40 juta di bawah Belanjawan Malaysia 2026.

Antara kejayaan awal program ini ialah penyenaraian Orkim Bhd. pada 9 Disember 2025, sebuah syarikat hiliran minyak dan gas terkemuka yang mengkhusus dalam pengangkutan marin produk petroleum.

Penyenaraian itu telah disokong oleh Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), firma ekuiti swasta berkaitan kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI