SHAH ALAM- Graduan Management and Science University (MSU) diingatkan agar terus memperkukuhkan pemikiran kritis dan kreativiti bagi menghadapi cabaran termasuk pada masa hadapan.
Raja Muda Kedah yang juga Canselor MSU, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin, bertitah, graduan perlu memiliki fokus yang jelas, keteguhan hati yang tinggi serta sentiasa mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat bagi menemui potensi diri.
“Bercita-citalah tinggi dengan ilmu global, tetapi jangan lupa berakar umbi untuk memberi kembali kepada komuniti.
“Namun, pada masa sama kita perlu memupuk budaya integriti yang mencerminkan kejujuran, ketelusan dan akauntabiliti demi memastikan sebuah negara yang adil dan makmur,” titah baginda sempena Majlis Konvokesyen MSU ke-36 MSU di Dewan Canselor MSU, hari ini.
Terdahulu, pada majlis tersebut, Tengku Sarafudin berkenan menyerahkan watikah pelantikan Pro-Canselor MSU kepada bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi dan Air, Prof. Emeritus Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang.
Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 2,453 graduan dari 128 program menerima skrol pengajian dalam majlis berlangsung selama dua hari bermula hari ini.
Malah, ia turut mencipta sejarah apabila tiga program akademik, iaitu Bachelor in Economics and Finance (Honours), Advance Diploma in Midwifery dan Diploma in Music melahirkan kohort graduan sulung. – KOSMO! ONLINE














