KUALA LUMPUR – Bintang muay thai sedang meningkat naik, Ahmad Nor Iman Aliff Rakib diberikan peluang merebut kejuaraan dunia bagi kategori strawweight dalam saingan ONE Championship selepas menewaskan Ramadan Ondash dari Lebanon.
Pada pertarungan ONE Fight Night yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok hari ini, petarung kelahiran Thailand-Malaysia itu mempamerkan aksi cukup baik sebelum menang menerusi keputusan majoriti juri.
Dengan ketinggian 1.77 meter (m), Aliff menggunakan kelebihan itu bagi mengawal aksi agresif Ondash selain beberapa kali membuatkan lawannya tersungkur menerusi pukulan serta sepakan yang dibuat.
Menerusi kemenangan itu, dia semakin hampir untuk merealisasikan impian apabila mendapat peluang bertarung menentang Prajanchai P.K Saenchai bagi merebut kejuaraan dunia dalam kategori tersebut.

“Saya sangat gembira dengan kemenangan hari ini dan sudah tentu mahu menjadi juara dunia. Ia merupakan impian saya, jadi saya mahu mendapatkan tali pinggang itu untuk pasukan dan bapa saya,” katanya sejurus tamat pertarungan.
Jun lalu, Aliff sudah memberi gambaran awal untuk mencabar Prajanchai bagi merebut takhta kejuaraan strawweight selepas menewaskan petarung Maghribi, Elmehdi El Jamari, juga menerusi keputusan majoriti juri.
Bagaimanapun, pertarungan merebut gelaran dunia itu terpaksa ditunda apabila Prajanchai tewas kepada Jonathan Di Bella dari Kanada dalam satu pertarungan kickboxing yang berlangsung Oktober lalu.
Memandangkan pertarungan merebut kejuaraan dunia sudah disahkan, Malaysia berpeluang untuk memiliki juara dunia pertama dalam ONE Championship menerusi Aliff yang akan menentang Prajanchai nanti. – KOSMO! ONLINE














