fbpx
ORANG ramai melihat kereta yang tenggelam dalam banjir kilat di kawasan Jalan Rahmat berhampiran Bangunan Perkim, Kuala Lumpur kelmarin. – SADDAM YUSOFF

Tak sampai 2 jam hujan lebat, KL huru-hara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Hujan lebat tidak sampai dua jam petang kelmarin, menyebabkan ibu negara huru-hara dengan banyak kenderaan terperangkap dan jalan raya mengalami kesesakan teruk akibat banjir kilat ketika warga kota berpusu-pusu mahu pulang ke rumah.

Antara kawasan yang dinaiki air di sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak hingga ke WTC Kuala Lumpur, Sentul, Titiwang­sa Jalan Haji Salleh, Kampung Chubadak Dalam dan Batu 2 ½, Jalan Ipoh.

Keadaan itu turut menyebabkan kesesakan teruk di pusat bandar termasuk di sekitar KLCC, Jalan Tun Razak dan Jalan Pahang. Beberapa premis perniagaan juga dinaiki air. Kawasan parkir di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia turut dinaiki air sehingga menenggelamkan kenderaan yang diletakkan di situ.

Lebih mencemaskan, satu siaran langsung di TikTok me­nunjukkan tembok sungai berhadapan ba­ngunan Plaza Permata, Titiwangsa pecah, menyebabkan air mengalir deras ke kawasan sekitar walaupun hujan reda.

“Beberapa kedai makan dan warung di hadapan bangunan JKR tenggelam. Kami terpaksa bermalam di pejabat malam ini, jalan pun jem teruk,” kata seorang pengguna TikTok.

SEORANG pejalan kaki meredah air banjir di ibu negara kelmarin.

Difahamkan, banyak kende­raan sudah hanyut dan tenggelam akibat arus deras, manakala laluan utama menuju Ampang turut lumpuh dengan trafik sangat perlahan.

Terdapat satu kejadian di mana seorang wanita diha­nyutkan arus deras ketika hendak menyeberangi laluan di ibu negara.

Kejadian berlaku apabila pegangan tangannya terlepas ketika cuba menyeberangi jalan bersama beberapa individu lain.

Bagaimanapun, wanita itu berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada berhampiran sebelum sempat dibawa lebih jauh oleh arus.

Seorang penduduk di kawasan Sentul, S. Vikneswaran, 47, pula berkata, kediamannya di Jalan Perhentian Haji Salleh dinaiki air hingga ke paras lutut dalam tempoh 15 minit.

“Air naik begitu pantas ketika hujan lebat yang bermula pada pukul 5.30 petang,” katanya.

SEBUAH rumah terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Gombak Batu 6 Kampung Tengah Gombak kelmarin.

Di Gombak, kawasan Taman Harmonis dilanda banjir kilat hingga menenggelamkan berpuluh kenderaan penduduk.

Menerusi beberapa video tular, sebahagian penduduk sempat mengalihkan kenderaan ke kawasan lebih tinggi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, sebuah rumah dihempap sebatang pokok tumbang akibat tanah runtuh di Jalan Gombak Batu 6 ¼ Kampung Tengah Gombak.

“Tanah runtuh setinggi 20 meter berhampiran sebuah rumah tiga tingkat, namun tiada mangsa terlibat.

“Lapan buah rumah juga rosak akibat tanah runtuh di Kampung Orang Asli, Batu 12 Gombak,” katanya.

Hujan lebat juga mengakibatkan dua buah rumah terjejas akibat tanah runtuh di Jalan Khalid Al Walid, Kampung Bukit Sungai Putih, Lembah Jaya Utara, Ampang pada pukul 7.09 malam kelmarin, namun tiada mang­sa terlibat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN