KADANG-KADANG bukan semua konsert yang dirancang bakal menjadi kenyataan atau diselesaikan dengan sempurna. Ada artis yang terpaksa batalkan konsert walaupun poster sudah keluar, latihan dah dilakukan dan peminat pun teruja menunggu hari tibanya persembahan.
Biasalah dalam industri hiburan, akan ada sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, namun apa pun puncanya, pembatalan konsert selalu menjadi topik hangat. Memang bukan keputusan mudah, tapi itulah realiti belakang tabir yang orang ramai jarang nampak.

Mawi
PADA September 2024, penyanyi dan juga bekas juara Akademi Fantasia 3 mengumumkan bakal menganjurkan konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025 di Megastar Arena, Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni.
Namun, pada Disember tahun lalu, pihak penganjur memaklumkan konsert tersebut ditunda pada Julai 2025 sebagai menghormati mangsa banjir yang terjejas di beberapa buah negeri. Meskipun alasan diberikan demi solidariti, timbul spekulasi bahawa tiket konsert tidak laku. Ada pembeli tiket yang turut meminta wang dikembalikan kerana sudah menempah penginapan dan tiket penerbangan.
Selepas lapan bulan tertangguh, konsert Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 44, tersebut akhirnya dibatalkan secara rasmi.
Bagaimanapun, penganjurnya Showtag Asia tidak menjelaskan secara terperinci punca utama konsert terbabit dibatalkan.

Aisha Retno
TANGGAL 16 November sepatutnya menjadi detik bersejarah buat Aisha Retno apabila persembahan solo sulungnya konsert Malam Sutera dirancang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur.
Namun, impian itu bertukar menjadi angan-angan apabila penganjur, Kharisma Music International mengumumkan pembatalan konsert pada 9 November 2024.
Difahamkan, pembatalan konsert tersebut dilakukan kerana jualan tiket yang sangat perlahan. Malah, penganjur yang juga penyanyi Indonesia, Yuka Kharisma turut menuntut baki wang sebanyak RM77,000 daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM83,000 yang didakwa dipinjam ketika bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), Mac 2024.
Namun begitu, selepas perselisihan yang hangat itu, kes tersebut senyap dan tidak diketahui perkembangan lanjut.
Walau bagaimanapun, Aisha tetap meneruskan kerjaya seni dan berjaya menganjurkan showcase pertamanya, The A.I.S.H.A Experience pada 21 September 2025 di Jio Space, Petaling Jaya.

Dolla
KONSERT Dolla Good Girls Gone Bad Live in Concert yang sepatutnya menjadi pentas terbesar kumpulan Dolla pada 6 Disember 2025 akhirnya terpaksa dibatalkan.
Menurut Pengarah Sah Entertaiment, Sufie Rashid, keputusan sukar tersebut diambil selepas mengambil kira banyak faktor termasuk tempoh persiapan yang terhad. Selain pembatalan konsert, kumpulan wanita yang terdiri daripada Sabronzo, Angel dan Tabby teruk dikecam selepas pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun yang secara terbuka menegur penampilan seksi mereka dalam video muzik (MV) terbaharu, Question.
Perkara tersebut mendapat perhatian banyak pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar yang mencadangkan untuk mengenakan tindakan jenayah syariah kepada selebriti beragama Islam berpakaian mencolok mata.
Beliau sedang dalam penelitian berhubung perkara itu termasuk mengarahkan semakan semula terhadap garis panduan pemakaian selebriti beragama Islam. Syarikat rakaman Universal Music Malaysia juga mengambil maklum dan memahami sepenuhnya kebimbangan orang ramai berhubung penampilan ahli kumpulan Dolla.

Hael Husaini
PEMINAT penyanyi Hael Husaini teruja membilang hari untuk menghadiri konsert Hael Husaini Live In KL yang sepatutnya berlangsung pada 4 Disember 2022 di Zepp Kuala Lumpur. K
Keterujaan Hael yang menyifatkan penganjuran konsert sebagai impian menjadi kenyataan selepas 15 tahun menceburkan diri dalam bidang seni tanah air bagaimanapun tidak berpanjangan apabila ditangguhkan kepada 19 Februari 2023 atas faktor kesihatan. Pada Disember 2022, syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment, mengumumkan pembatalan penuh konsert meskipun persiapan hampir siap.
Namun selepas hujan ada pelangi. Penantian Hael berhasil apabila konsert sulungnya, Hael Husaini & Repertoire di Zepp KL pada 8 Ogos 2025 terlestari jua.














