MOSCOW – Russia menyekat akses ke platform permainan popular, Roblox kerana bimbang mengenai keselamatan kanak-kanak dan idea ekstremisme, termasuk penyebaran kandungan berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), lapor Perbadanan Penyiaran British (BBC) semalam.
Agensi kawal selia media Russia, Roskomnadzor berkata, platform permainan itu dipenuhi kandungan tidak sesuai yang boleh menjejaskan perkembangan rohani dan moral kanak-kanak.
Platform permainan interaksi menampilkan ramai pemain itu merupakan antara yang paling popular di dunia, tetapi dikritik hebat kerana kekurangan ciri perlindungan untuk kanak-kanak.
Seorang jurucakap Roblox berkata, syarikat itu menghormati undang-undang di negara tempat ia beroperasi sambil menambah, platform tersebut menyediakan ruang positif untuk pembelajaran.
“Kami sangat komited kepada keselamatan dan mempunyai rangkaian langkah keselamatan proaktif termasuk pencegahan yang kukuh untuk mengesan serta menghalang kandungan berbahaya di platform kami,” kata jurucakap itu dalam maklum balas kepada BBC.
Media Rusia melaporkan bahawa Roskomnadzor menyekat platform dari Amerika Syarikat (AS) tersebut kerana bimbang tentang kandungan berkaitan keganasan dan maklumat mengenai isu LGBT yang diklasifikasikan oleh Moscow sebagai ekstrem.
Aktiviti sedemikian dikatakan kerap ditemui di pelayan Roblox, termasuk senario simulasi serangan pengganas dan perjudian.
Roblox yang merupakan antara permainan mudah alih paling banyak dimuat turun di Russia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, membolehkan pemain mencipta dan berkongsi permainan mereka sendiri, ciri yang menyukarkan pihak berkuasa kawal selia.
Roskomnadzor turut mendapat laporan mengenai gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan perkongsian gambar intim di platform itu.
Platform tersebut telah diharamkan di beberapa negara termasuk Turkiye atas isu keselamatan kanak-kanak. – AGENSI














