PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi tadi.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, beliau amat terkesan dengan berita berkenaan dan menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh politik yang tegas, lantang serta berprinsip dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah.
Menurutnya, keperibadian Bung Moktar sebagai pemimpin berpengalaman menjadikan Allahyarham dihormati ramai, selain komitmen beliau dalam arena politik tanah air sentiasa terpahat dalam ingatan.
“Jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap rakyat Sabah dan negara amat besar. Saya mendoakan agar keluarga Allahyarham diberikan kekuatan menghadapi ujian ini,” katanya.
Allahyarham Bung Moktar, 66, yang juga Ketua UMNO Sabah meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu di Sabah.
Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat hari ini. – KOSMO! ONLINE














