GOMBAK – Penghuni sebuah rumah berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dihempap sebatang pokok yang tumbang akibat tanah runtuh di Jalan Gombak Batu 6 ¼ Kampung Tengah Gombak, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira pukul 7.30 malam.
“Komander Operasi melaporkan telah berlaku runtuhan tanah setinggi 20 meter berhampiran sebuah rumah tiga tingkat.
“Kejadian itu mengakibatkan sebatang pokok tumbang menghempap bahagian rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pihak JBPM telah mengarahkan penghuni untuk mengosongkan kediaman ke tempat selamat. – KOSMO! ONLINE














