PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau disambut mesra oleh rakan sejawatnya, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, sebaik tiba di republik itu hari ini.
Menurut Anwar, beliau dijemput menghadiri jamuan tengah hari serta mengadakan sesi pertemuan empat mata bersama Lawrence dalam suasana penuh keakraban, sekali gus menggambarkan hubungan persahabatan erat yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Saya merakamkan penghargaan atas layanan mesra beliau dan Kerajaan Singapura.
“Ia bukan sahaja mencerminkan hubungan peribadi kami, malah melambangkan kekuatan hubungan erat Malaysia–Singapura sejak sekian lama,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan positif mengenai beberapa perkara yang sedang ditangani secara bersama, termasuk isu kawalan ruang udara, bekalan air dan penyelarasan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura. – KOSMO! ONLINE.














