KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan, hanya 18 peratus bakal jemaah haji dalam giliran membuat keputusan menangguhkan atau menunda tawaran untuk menunaikan ibadat haji bagi musim 1447H/2026 setakat semalam.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, bagaimanapun, kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi sentiasa dipenuhi 100 peratus setiap tahun.
Zulkifli berkata, setiap kekosongan akibat penangguhan penerimaan tawaran akan diganti serta-merta melalui senarai permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah itu melalui aplikasi THiJARI, sekali gus membantu TH memastikan kuota haji rasmi dimanfaatkan sepenuhnya.
“Tahun ini, TH menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadat haji,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Belia berkata demikian bagi menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah pendeposit TH yang menolak tawaran menunaikan haji dan apakah alasan penolakan mereka.
Menurut beliau, sebanyak 31 peratus jemaah haji yang meminta penangguhan adalah disebabkan faktor peribadi, kesihatan (20 peratus) dan kewangan (23 peratus). – KOSMO! ONLINE














