KUALA LUMPUR – Penguatkuasaan takrifan baharu belia iaitu usia 15 hingga 30 tahun bermula 1 Januari 2026 tidak akan menjejaskan program-program kerajaan yang masih mengekalkan had umur sehingga 40 tahun bagi aspek pembangunan sosial belia.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata, kerajaan telah mengambil langkah bagi menjamin kesinambungan bantuan dan memastikan penglibatan individu berumur 30 hingga 40 tahun secara produktif dalam ekosistem pembangunan negara.
Kata beliau, antara langkah itu dengan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri Penyelarasan Sokongan dan Bantuan Kerajaan Kepada Belia Pasca Penguatkuasaan Penurunan Had Umur Belia pada 28 November 2025.
Jelas beliau, ia untuk memastikan semua kementerian, jabatan dan agensi Kerajaan terus mengekalkan sokongan serta bantuan kepada rakyat Malaysia berumur 30 hingga 40 tahun selepas 1 Januari nanti.
Selain itu, katanya, pendekatan Penyelarasan dan Pemantauan Melalui Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Belia (JKPB) akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri 1.
“Antara bantuan kerajaan kepada individu berumur 30 hingga 40 tahun diteruskan dan tidak terjejas adalah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi iaitu penyelarasan pembiayaan perniagaan kepada belia.
“Kementerian Pendidikan iaitu penyelarasan pembiayaan pendidikan dan penyaluran dana atau bantuan melalui pelbagai biasiswa. Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan iaitu pemberian Geran Agropreneur Muda kepada belia berumur 30 tahun ke atas hingga 45 tahun,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) berhubung bentuk sokongan dan bantuan yang akan diberikan kepada individu yang telah melepasi had umur belia selepas penguatkuasaan Akta A1602 pada 1 Januari 2026.
Hannah berkata, penyelarasan itu dapat memastikan tiada individu yang berumur 30 hingga 40 tahun kehilangan akses kepada sokongan dan bantuan sedia ada.
Beliau berkata, langkah itu mengekalkan kesinambungan pembangunan sosial, kemahiran, keusahawanan dan penglibatan komuniti bagi mereka.
“Kerajaan tidak sesekali akan meninggalkan individu berumur 30 hingga 40 walaupun selepas penguatkuasaan Akta A1602 pada 1 Januari 2026 nanti.
“Individu yang telah melepasi had umur masih boleh menyumbang sebagai mentor, fasilitator, penasihat, penggerak belia, pekerja belia atau mana-mana yang bersesuaian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














