KUALA TERENGGANU – Penduduk 41 perkampungan yang terletak di 12 muara sungai di lima daerah di Terengganu berisiko kembali dilanda banjir berikutan fenomena air pasang besar selama seminggu sehingga Rabu depan.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, Ir. Osman Abdullah berkata, ia melibatkan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun Marang dan Setiu.
Beliau berkata, kesemua 41 penempatan tersebut berisiko dilanda banjir sekiranya hujan lebat berterusan bertembung dengan fenomena air pasang besar sepanjang tempoh tersebut.
“Lokasi berisiko yang dikenalpasti di Kuala Terengganu ialau Kampung Kubang Ikan, Kampung Kuala Ibai, Taman Purnama, Kampung Pulau Rusa, Kampung Sekati dan Kampung Pulau Ketam.
“Kampung Baru Seberang Takir, Kampung Seberang Takir, Kampung Ulu Takir, Kampung Pak Tuyu dan Kampung Tanjung Gelam di Kuala Nerus juga berisiko banjir,” katanya di sini hari ini.
Osman berkata, pemantauan juga dilakukan di Kampung Seberang Pintasan, Kampung Teluk Bidara, Kampung Tanjung Jara, Kg Che Lijah, Kampung Alor Makbah dan Kampung Bijangga, Dungun.
Beliau berkata, kawasan lain di Dungun yang turut dikhuatiri terjejas ialah Kampung Sungai Buaya, Kampung Sura, Kampung Kuala Paka, Kampung Tebing Tembah, Kampung Pinang Merah dan Kampung Durian Mentangau.
“Bagi daerah Marang pula, lokasi berisiko ialah Kampung Rusila, Kampung Rhu Dua, Kampung Rhu Rendang, Kampung Mercang, Kampung Pulau Rusa Baru.
“Selain itu, Kampung Gong Batu, Kampung Pengkalan Gelap, Kampung Limau Nipis, Kampung Kuala Setiu, Kampung Fikiri dan Kampung Telaga Papan juga dikhuatiri terjejas,” katanya. – KOSMO! ONLINE














