MIRI – Pemandu dan kelindan treler maut akibat tersepit selepas dihempap lori Tipper yang diangkut mereka.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner, Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semalam di Jalan Pujut 1B berdekatan bulatan Saberkas di sini.
“Kemalangan berlaku semasa treler yang mengangkut lori jenis Tipper datang dari arah bulatan Saberkas menuju ke Jalan Miri Bypass. Ketika sampai di Jalan Pujut 1B, treler tersebut berhenti di lampu isyarat sebelum lori Tipper yang diangkut tiba-tiba bergerak lalu menghempap bahagian hadapan treler berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menambah, pemandu treler iaitu lelaki berusia 54 tahun serta kelindan, lelaki berusia 44 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE














