JELI – Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan teman wanitanya iaitu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang ditahan selepas melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Kampung Rabbana di sini pada Isnin lalu dipercayai tidak sempat melakukan hubungan tidak bermoral di dalam kereta.
Terdahulu, pasangan kekasih itu ditahan polis kira-kira pukul 3.30 petang pada hari tersebut selepas polis mengejar kereta jenis Perodua Myvi yang mereka naiki.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Kamarulzaman Harun berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia dalam lingkungan 20-an mengambil mangsa di hadapan sekolah untuk pergi ke Lata Renyut di sini.
Menurutnya, lelaki itu bagaimanapun memberhentikan kereta dipandunya di tepi jalan Kampung Sungai Rual di sini untuk melakukan hubungan seks dengan remaja itu di dalam kereta.
“Remaja perempuan itu dipercayai dengan rela hati untuk melakukan perhubungan itu, namun terkejut dengan kehadiran pihak polis yang sedang melakukan rondaan.
“Justeru, polis mengingatkan orang awam agar mengelakkan sebarang perlakuan seksual di dalam kenderaan sama ada di kawasan awam atau tempat sunyi kerana ia boleh menimbulkan risiko jenayah dan implikasi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kamarulzaman memberitahu, lelaki itu akan ditahan semula dan kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksyal Terhadap Kanak-Kanak 2017. – KOSMO! ONLINE














