PETALING JAYA – Fairy Beauty Resources, penyedia penyelesaian penjagaan badan yang dirumus khusus untuk keperluan kulit dan gaya hidup masyarakat, bercadang untuk terus membangun dan memperluaskan jenamanya sebagai usaha untuk memperkukuhkan kedudukan syarikat di pasaran semasa.
Pengasasnya, Rahmah Hayati Komaruddin berkata, pihaknya juga mahu menguatkan rangkaian pengedaran di seluruh negara selain memperkenalkan lebih banyak rangkaian produk khusus, serta meneroka peluang ke pasaran serantau yang mempunyai keperluan kecantikan dan tingkah laku pengguna yang serupa.
Bagi mencapai misi tersebut, pihaknya telah menggariskan rancangan untuk meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, inovasi pembungkusan serta peningkatan standard formulasi bagi memastikan jenama terus berdaya saing serta memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang.
“Kami juga sedang meneroka kerjasama dengan rakan industri dan pakar kecantikan untuk memperluas keterlihatan jenama dan pendidikan produk.
“Visi kami adalah untuk berkembang sebagai jenama penjagaan badan Asia yang boleh dibanggakan oleh rakyat.
“Anugerah ini memberi kami momentum untuk menggandakan usaha sambil mengekalkan komitmen terhadap kecemerlangan,” katanya dalam kenyataan di keluarkan bersempena Fairy Beauty Resources menerima anugerah di sini baru-baru ini.
Dalam majlis Bumiputera Business Excellence Awards (BBEA) 2025, Fair Beauty Resources telah menerima anugerah Business Excellence in Asian Bodycare Brand Award yang berlangsung di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Anugerah ini mengiktiraf sumbangan jenama tersebut dalam memajukan landskap kecantikan dan penjagaan badan di Malaysia melalui inovasi produk yang berkesan, formulasi berkualiti tinggi berinspirasikan tradisi kesejahteraan Asia, serta komitmennya dalam meningkatkan keyakinan pengguna.
Rahmah menerangkan, dengan permintaan yang semakin meningkat terhadap produk penjagaan badan yang selamat, mudah diakses dan berasaskan budaya Asia, pengiktirafan ini turut mengukuhkan kredibiliti syarikat dan mengesahkan kepercayaan pengguna di seluruh negara.
“Anugerah ini adalah pengiktirafan bermakna terhadap perjalanan syarikat dan dedikasi pasukan terhadap produk dan jenama tersebut.
“Pengiktirafan ini sangat bermakna bagi kami kerana ia mencerminkan komitmen pasukan kami untuk menghasilkan rangkaian penjagaan badan yang benar-benar membantu dan memberi keyakinan kepada pelanggan.
“Diiktiraf di platform nasional menguatkan lagi keyakinan kami untuk terus menghasilkan produk yang berkualiti tinggi, selamat dan berkesan untuk rakyat Malaysia,” jelasnya.
Beliau menambah bahawa pengiktirafan ini menjadi pemangkin bagi Fairy Beauty untuk terus memperluas kehadiran jenama dan menyumbang kepada industri kecantikan yang sedang berkembang pesat di Malaysia. -KOSMO! ONLINE














