SINGAPURA – Seorang lelaki warga Singapura dijatuhi hukuman penjara 17 bulan atas kesalahan berkahwin dengan dua wanita, lapor laman berita MSNews hari ini.
Ng Teong Min, 67, menyembunyikan keluarga keduanya daripada isteri pertama selama 30 tahun.
Kehidupan dua isteri itu hanya terbongkar pada Ogos lalu apabila seorang pemberi maklumat menghantar e-mel kepada Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
Teong Min bertemu isteri pertamanya semasa mereka masih remaja sebelum berkahwin pada tahun 1980 dan mempunyai dua anak.
Antara 1985 hingga 1995, lelaki tersebut kerap ke Sarawak atas urusan perniagaan dan akhirnya memulakan hubungan dengan wanita kedua.
Dia mengaturkan tempat tinggal untuk wanita itu dan tinggal bersamanya setiap kali berkunjung ke Sarawak untuk bekerja.
Walaupun wanita itu mengetahui Teong Min sudah berkahwin, mereka tetap melangsungkan perkahwinan pada tahun 1995.
Mereka juga memilih untuk tidak mendaftarkan perkahwinan itu bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.
Teong Min mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama 17 bulan. – AGENSI














