JITRA – Seorang kanak-kanak lelaki yang menderita kanser limfoma tahap empat menyuarakan keinginannya untuk memiliki sepasang kasut sukan sebagai pemberi semangat untuk pulih.
Menurut Muhammad Qhosiff Basyar Abdul Haziq, 11, dia tidak pernah memiliki kasut sukan walaupun gemar bermain bola sepak bersama rakan-rakan ketika masih sihat.
“Selama ini saya bermain bola sepak berkaki ayam sahaja kerana tidak memiliki kasut sukan. Sekarang kalau boleh saya nak sepasang kasut sukan Puma untuk beri saya semangat. Kalau sembuh nanti, saya mahu pakai untuk bermain bola,” katanya.
Dia yang disahkan menghidap penyakit itu pada Oktober lalu kini menjalani rawatan kemoterapi di Hospital Pulau Pinang sejak bulan lalu, namun kesihatannya semakin merosot mengakibatkan pergerakan semakin terbatas.
Ibunya, Shanaz Fazira Saidin, 31, yang bekerja sebagai kedi golf memberitahu, anak kedua daripada lima beradik itu merupakan kanak-kanak yang aktif bersukan di sekolah selain lasak.
“Namun keadaannya kini tidak berdaya. Kami reda dan apabila dia menginginkan kasut sukan itu, hati saya jadi luluh. Saya seorang ibu tunggal hanya bekerja sebagai kedi dengan pendapatan RM1,700 dan terpaksa menyara lima anak termasuk empat bersekolah.
“Pendapatan saya juga tidak menentu kerana kalau ada kerja adalah gaji. Bekas suami adalah membantu sikit tetapi dia telah kehilangan kerja kerana banyak cuti menjaga Qhosiff,” katanya.
Shanaz Fazira memberitahu, anaknya itu mengalami demam sehingga mata kanannya sedikit terbonjol sebelum dia dibawa untuk pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
“Macam nak pengsan apabila doktor sahkan dia hidap kanser setelah pembedahan dilakukan untuk sampel. Doktor beritahu sel kanser itu sudah menyerang otak yang mengakibatkan dia selalu sakit kepala.
“Saya baru memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun belum dapat apa-apa maklum balas,” katanya.
Terdahulu, Qhosiff dan ibunya menerima kunjungan Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal dan penaungnya, Datuk Mohd. Asri Redha.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Shanaz Fazira, 0219 0410 0018 5743. -KOSMO! ONLINE














