ROMPIN – Mayat pasangan suami isteri yang lemas selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Rompin berjaya dinaikkan kira-kira pukul 3.05 petang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber berkata, mayat mangsa Mohd Zairip Bidin,40, dan isterinya Aisyah Shafie,55, yang berada di dalam kereta dibawa naik menggunakan kren.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat dan kes dibuka sebagai mati mengejut,” katanya di sini hari ini.
Semalam, sepasang suami isteri dikhuatiri lemas selepas kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Rompin.
Difahamkan semasa kejadian mangsa Mohd Zairip Bidin, 40, dan isterinya Aisyah Shafie, 55, dalam perjalanan ke rumah anak mereka di Kampung Sarang Tiong di Tanjung Gemok.
Terdahulu, Perodua Myvi yang dinaiki pasangan terbabit ditemukan kira-kira 59 meter daripada lokasi kejadian pada pukul 11 pagi, hari ini. – KOSMO! ONLINE














