ALOR SETAR – Tindakan pemandu lori membawa kayu getah melebihi muatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya lain memakan diri apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Kilometer (KM) 2, Jalan Langgar-Kebun 500 di sini kelmarin.
Menurut Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, kenderaan berat tersebut didapati membawa muatan berlebihan sebanyak 7,700 kilogram iaitu 154 peratus melebihi had dibenarkan.
“Pemeriksaan anggota mendapati keadaan kenderaan itu bukan sahaja membahayakan kerana muatan melampau, malah tailboard besi pada bahagian belakang turut diubah suai. Ia menjadikan struktur tidak stabil dan tidak mengikut piawaian keselamatan. JPJ kemudian mengeluarkan Notis Arah Timbang Seksyen 63(1) untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini.
Katanya, tindakan di lokasi adalah mengeluarkan tiga saman dan satu notis kesalahan teknikal.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu atau pemilik kenderaan yang cuba mengambil jalan pintas dengan membawa lebih muatan kerana tindakan itu boleh mengundang risiko kemalangan serius,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE














