PETALING JAYA – Tular di media sosial satu video memaparkan dakwaan sebuah premis menyambung bekalan air secara terus daripada paip utama tanpa melalui meter.
Difahamkan lokasi kejadian terletak di Jalan Perak Kanan, Kampung Labohan, Banting, Selangor.
Menerusi hantaran dimuat naik @Ar_rijal11 di aplikasi Thread, kelihatan satu paip besar berwarna biru disambungkan menggunakan satu hos hitam yang dilihat menjulur naik ke tingkat satu dan tiga bangunan.
Pengguna tersebut turut mendakwa bahagian bawah kedai diusahakan warga asing, sekali gus menimbulkan spekulasi bahawa premis berkenaan menikmati bekalan air tanpa bayaran sejak sekian lama.
“Air Selangor saya nak tanya, boleh ke sambung terus macam ini tanpa meter, saya tak tahu berapa lama premis ni guna air tanpa meter. Bawah ni kedai Pakistan.
“Kalau boleh, saya nak sambung terus juga untuk rumah saya. Buat apa nak bayar kalau boleh guna percuma macam ni,” tulisnya.
Pengguna tersebut turut memaklumkan dia telah membuat aduan kepada pihak berkuasa agar tindakan dapat diambil dengan segera.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang menyifatkan perbuatan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan merugikan pengguna lain yang membayar bil setiap bulan.
Ramai turut menggesa pihak Air Selangor serta pihak berkuasa tempatan segera menjalankan siasatan di lokasi berkenaan kerana sambungan haram bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan keselamatan jika berlaku kebocoran atau paip pecah.
“Curi dari paip besar, ni betul-betul cari penyakit, tempat saya dulu tempat sarang burung, tauke tu curi macam inilah, kena saman berpuluh ribu juga dia,” komen Mohd.
“Handal betul taktik dorang nak dapat air percuma ya. Kita pun tak berani tapi mereka terang-terangan lakukan,” komen Irfan.
Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak Air Selangor berhubung dakwaan tersebut setakat artikel ini ditulis. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














