fbpx
Perkhidmatan subfertiliti LPPKN ditawarkan pada kos yang lebih rendah berbanding fasiliti swasta bagi memastikan lebih ramai pasangan, khususnya daripada golongan B40 dan M40, mendapat akses rawatan. Gambar kecil: Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah.

Lebih 7,000 pasangan ikhtiar dapatkan zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia kini berdepan cabaran kesuburan yang semakin meruncing apabila lebih ramai pasangan suami isteri dilaporkan sukar mendapatkan zuriat, selain trend berkahwin lewat dan faktor gaya hidup yang menjejaskan tahap kesuburan. 

Bagaimanapun, di sebalik kebimbangan itu, kemudahan rawatan kesuburan berteknologi moden pada kos berpatutan dilihat menjadi antara jalan keluar kepada pasangan yang memerlukan, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Antara institusi yang memainkan peranan penting adalah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang kini muncul sebagai antara penyedia utama rawatan subfertiliti pada kadar mampu milik, dengan lebih 6,000 pasangan berjaya hamil menerusi rawatan yang ditawarkan agensi tersebut.

Ketua Pengarah LPPKN, Datuk Abdul Shukur Abdullah berkata, pada tahun ini sahaja, sebanyak 7,181 pasangan mendapatkan perkhidmatan fertiliti manakala daripada jumlah tersebut seramai 6,435 pasangan berjaya hamil menerusi rawatan di LPPKN.

Beliau berkata terdapat peningkatan bilangan klien yang hadir mendapatkan perkhidmatan Klinik Subfertiliti LPPKN pada tahun ini berbanding tahun lepas iaitu sebanyak 44 peratus. 

“Perkhidmatan subfertiliti LPPKN ditawarkan pada kos yang lebih rendah berbanding fasiliti swasta bagi memastikan lebih ramai pasangan, khususnya daripada golongan B40 dan M40, mendapat akses rawatan. 

“Tambahan lagi inisiatif kerajaan seperti Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BuAi) menyediakan subsidi penuh kepada rawatan Intrauterine Insemination (IUI) bagi meningkatkan lagi akses terutamanya kepada golongan B40.  

“Seramai 1,300 orang pasangan yang layak telah berdaftar manakala 1,100 pasangan menjalani rawatan di bawah program BuAi setakat November ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di ibu pejabat LPPKN, baru-baru ini. 

Tambah Abdul Shukur, sejak penubuhan Klinik Subfertiliti LPPKN pada tahun 1979 sehingga kini, sebanyak 44,738 kes baru dan 279,584 kes ulangan yang berdaftar dengan LPPKN.

Beliau berkata dapatan daripada Data Subfertiliti Kebangsaan 2024 menunjukkan majoriti pasangan yang hadir berumur 30 hingga 34 tahun dan diikuti dengan kategori umur 35 hingga 39 tahun. 

Jelasnya, majoriti pasangan yang hadir menunggu lebih lima tahun sebelum mendapatkan rawatan subfertiliti iaitu sebanyak 44.2 peratus dan diikuti 36.6 peratus dalam tempoh menunggu dua hingga lima tahun. 

“Data tersebut jelas menunjukkan kesedaran masyarakat masih rendah berkaitan isu subfertiliti dan kesegeraan untuk mendapatkan rawatan bagi meningkatkan kejayaan kehamilan.

“Umur seseorang wanita merupakan antara faktor utama dalam kejayaan rawatan disebabkan apabila mencecah 30 tahun ke atas, kualiti dan kuantiti telur wanita akan berkurangan secara semula jadi,” katanya. 

Sementara itu, beliau berkata LPPKN menawarkan pelbagai rawatan fertiliti berteknologi moden seperti In-Vitro Fertilisation (IVF), Intra-Cytoplasmic Sperm Injection (ICSI), penyejukbekuan gamet dan IUI.

Katanya, bagi lelaki yang mempunyai masalah psikoseksual atau kualiti sperma yang rendah, LPPKN turut menyediakan Klinik Kesejahteraan Lelaki yang menawarkan konsultasi bersama doktor lelaki berpengalaman, rawatan bersesuaian serta prosedur surgeri kecil seperti PESA, TESA dan TESE bagi pengambilan sperma. 

Dari segi kos, beliau berkata, caj rawatan di Klinik Subfertiliti LPPKN dikekalkan pada kadar mampu milik seperti rawatan IUI misalnya dianggarkan sekitar RM1,000 hingga RM1,500, manakala rawatan IVF dan ICSI berharga antara RM10,000 hingga RM15,000 bagi satu kitaran. 

Perkhidmatan tersebut kini ditawarkan di empat klinik mengikut zon, iaitu Klinik Subfertiliti LPPKN Pulau Pinang (Zon Utara), Kuala Lumpur (Zon Tengah), Johor Bahru (Zon Selatan) dan Sarawak. 

Statistik kesuburan Malaysia sebelum ini melaporkan peningkatan Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) kepada 1.7 anak bagi setiap wanita pada tahun 2023, meningkat daripada 1.6 pada tahun sebelumnya.

Menurut statistik terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pula, jumlah kelahiran hidup di Malaysia merekodkan penurunan sebanyak 11.5 peratus kepada 93,500 berbanding 105,613 kelahiran pada suku tahun pertama 2024. 

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin sebelum ini berkata, jumlah kelahiran hidup pada suku pertama 2025 merupakan rekod terendah pernah dicatatkan, dengan nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Mengulas lanjut, Abdul Shukur berkata melihat kepada situasi semasa Kadar Kesuburan Jumlah Negara yang rendah, kerajaan sendiri telah memberi mandat kepada LPPKN dalam penubuhan Pusat Subfertiliti Negara (PSN) di Shah Alam, Selangor dengan peruntukan sebanyak RM171 juta. 

Katanya, pusat ini dijangka beroperasi sekitar tahun 2030 dan bakal bertindak sebagai pusat rujukan nasional untuk rawatan subfertiliti, latihan kepakaran dan penyelidikan disamping pengukuhan kepakaran reproduktif dan makmal. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN