fbpx
BILIK kawalan VAR dilengkapi dengan pelbagai skrin canggih bagi membantu pengadil di atas padang membuat keputusan.

Keputusan pengadil paling muktamad, bukan VAR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGUNAAN Video Bantuan Pengadil (VAR) merupakan satu perubahan paling penting dalam arena bola sepak moden. Pelaksanaan teknologi itu sekali gus menjadi dimensi baharu terhadap ketepatan keputusan dan integriti pengadil.

Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB) bertanggungjawab dalam menetapkan prosedur serta protokol VAR supaya dapat digunakan secara konsisten, adil dan telus dalam setiap perlawanan.

Secara asasnya, VAR bukanlah bertujuan menggantikan pengadil di atas padang, sebaliknya berfungsi sebagai sistem sokongan untuk membantu individu penting itu membuat keputusan signifikan.

Perkara itu dipersetujui oleh bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Subkhiddin Mohd. Salleh apabila menyifatkan teknologi terbabit boleh mengenal pasti insiden yang tidak dapat dilihat dengan jelas oleh pengadil di tengah padang.

“VAR ini hanya digunakan untuk empat kategori iaitu jaringan gol, penalti, kad merah dan identiti pemain yang membuat kesalahan.

“Pihak pengelola VAR akan memastikan jaringan yang dibuat pemain layak dan tidak offside, selain pemain membuat kesalahan. 

“Jadi, kad diberikan kepada pemain yang betul. Ini kerana kita tidak mahu pemain lain buat salah tetapi pemain lain dapat kad.

“Sebelum wujudnya teknologi ini, kita memerlukan masa yang lama untuk memastikan semua itu clean (bersih).

SETIAP kesalahan dilakukan pemain dapat dilihat semula dengan VAR. – Gambar hiasan

“Sekiranya ada challenge (bantahan) daripada jurulatih pasukan, ia mengambil masa lama untuk membuat keputusan kerana perlu melalui banyak semakan video dan pengesahan,” katanya kepada K-Tekno.

Kebiasaannya, VAR akan ditempatkan di dalam sebuah bilik khas yang dikendalikan oleh operator, pembantu operator, jurutera dan pengadil.

Operator dan jurutera bertanggungjawab dalam memastikan monitor dapat berfungsi dengan baik serta paparan skrin mengikut masa nyata perlawanan.

“Bilik kawalan VAR ini boleh diibaratkan sama seperti studio penerbit yang mengendalikan program secara langsung iaitu mempunyai beberapa monitor hasil paparan kamera di padang.

“Setiap monitor ada individu bertanggungjawab yang akan memainkan peranan masing-masing agar pemain tidak offside, penalti berlaku di kawasan betul atau mengesan kesalahan-kesalahan lain.

“Mereka yang berada di bilik kawalan ini juga perlu mendapatkan lesen sah daripada FIFA.

“Jika ada pihak lain yang ingin berada dalam bilik kawalan, mereka perlu mendapatkan kebenaran.

“Kita tidak mahu ada gangguan yang mungkin menjejaskan tumpuan pengadil. 

“Bahkan, telefon tidak dibenarkan di dalam bilik tersebut kerana kita tidak mahu ada sebarang komunikasi yang boleh mempengaruhi keputusan,” katanya.

Biarpun kewujudan VAR dilihat dapat membantu dan memudahkan tugas pengadil, namun Subkhiddin tidak menolak hakikat bahawa teknologi tersebut mempunyai cabarannya tersendiri.

“Pengadil di atas padang berkemungkinan tidak serius melakukan tugas dan kurang berlari kerana mengetahui jika berlaku kesilapan, pihak VAR akan memaklumkan kepadanya.

“Kedua, kebimbangan untuk berkomunikasi jika individu yang menjaga VAR adalah pengadil baharu, manakala pengadil di padang lebih senior. 

“Ada segelintir pihak bimbang jika mereka takut menegur kesilapan senior, sekali gus menyebabkan berlaku perselisihan faham. Hal ini kerana setiap individu mempunyai ego masing-masing. 

“Namun saya selalu menasihatkan agar sentiasa bersikap profesional, dan memaklumkan hal yang sebenar kerana ia melibatkan integriti serta maruah bola sepak,” tegasnya.

Meskipun VAR mengesan berlaku kesilapan dalam proses pengadilan, namun teknologi yang mula digunakan secara rasmi dalam Liga Super pada tahun lalu itu tetap memerlukan keputusan muktamad daripada pengadil di atas padang.

“Pengadil di atas padang tetap akan membuat keputusan sama ada bersetuju dengan VAR atau sebaliknya. 

“Jika semua pihak sepakat dan yakin dengan insiden berlaku, maka akan dapat keputusan yang sama.

“Namun jika pengadil di padang tetap dengan pendiriannya dan menafikan apa yang ditunjuk oleh VAR, maka kita tidak boleh berbuat apa-apa. Ini kerana ia sudah menjadi keputusan pengadil,” katanya.

Difahamkan IFAB terus berusaha menambah baik sistem VAR melalui kajian dan maklum balas tahunan bagi memastikan alat tersebut mampu menyokong dan bukan mengganggu aliran permainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN