fbpx
BAGI sesetengah individu, chatbot AI menjadi penasihat kerohanian yang sentiasa tersedia 24 jam sehari sehingga terputus hubungan dengan orang agama selain cenderung berfikiran pasif kerana terlalu bergantung teknologi. – Gambar Hiasan

Masyarakat mula bertuhankan chatbot AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEKNOLOGI kecerdasan buatan (AI) yang berkembang pesat dalam era digital ini bukan sahaja mengubah cara manusia bekerja dan berkomunikasi, malah turut mempengaruhi pelbagai aspek lain dalam kehidupan seperti kerohanian. 

Sebagai jalan pintas, berkomunikasi dengan menggunakan chatbot AI boleh dianggap sebagai solusi baharu untuk mendapatkan nasihat dan pandangan.

Perkara itu berlaku apabila sekumpulan masyarakat di India kini memilih untuk meluahkan permasalahan mereka kepada chatbot AI bernama GitaGPT yang dilengkapi dengan maklumat berkaitan agama Hindu.

Memetik laporan BBC, situasi tersebut juga sudah dianggap sebagai trend khususnya buat golongan muda yang ingin mendapatkan sokongan secara spiritual. 

Seorang pelajar yang tinggal di Rajasthan bernama Vijay Meel, 25, mengakui berasa tenang selepas meluahkan perasaan kepada chatbot tersebut. 

“Apabila saya tidak dapat menyelesaikan peperiksaan perbankan, saya berasa amat kecewa dan ketika itu saya memerlukan seseorang untuk bercerita.

“Tetapi selepas menceritakan situasi itu, saya mendapat nasihat daripada GitaGPT agar fokus pada tindakan dan melepaskan kebimbangan terhadap hasilnya nanti,” katanya. 

Setelah mendapat jawapan, dia berasa lega dan mula menjadikan GitaGPT sebagai ‘teman baik’. Vijay sering berbual dengan chatbot AI tersebut sekali atau dua kali seminggu.

Fenomena begini lahir daripada kemajuan model bahasa generatif yang kini mampu menghasilkan respons bernada hikmah, lembut serta menyerupai gaya komunikasi agama atau ajaran.

Bagi sesetengah individu, AI menjadi penasihat kerohanian yang sentiasa tersedia 24 jam sehari, tanpa penilaian, tanpa emosi dan tanpa batasan geografi.

SEKUMPULAN masyarakat di India mula menjadikan chatbot AI sebagai Tuhan untuk bertanyakan tentang agama.

Menurut Ahli Antropologi dan Pensyarah Kolej Wellesley di Amerika Syarikat, Holly Walters, kemunculan chatbot AI mengubah konsep individu berkomunikasi dan respons kepada persekitaran. 

“Orang ramai mula terputus hubungan dengan komuniti, ibu bapa dan orang agama. Bagi kebanyakan orang bercakap dengan AI tentang Tuhan adalah cara untuk mencapai yang mereka inginkan dan bukannya bersifat kerohanian. 

“Biar apa pun, agama itu sesuatu yang bersifat suci dan perlu didalami dengan amalan tetapi kita tidak dapat elak hal sebegini berlaku apabila orang mula menjadikan AI sebagai Tuhan,” kata Walters. 

Chatbot AI yang kini didapati dalam bentuk aplikasi dan mudah untuk dimuat turun ke telefon bimbit juga menjadi pendorong buat masyarakat untuk menggunakannya dengan lebih cepat. 

Sementara itu, pakar psikologi, Sophia James pula meluahkan kebimbangan terhadap trend menjadikan chatbot AI sebagai medium komunikasi, meskipun platform digital itu sudah dilengkapi dengan pelbagai data. 

“Individu yang bergantung kepada chatbot AI ini lebih cenderung berfikiran pasif kerana terlalu bergantung kepada teknologi sehinggakan tidak mampu membuat keputusan sendiri. 

“Kebergantungan kepada AI membuatkan seseorang tidak mampu membezakan antara fantasi dan realiti kerana chatbot mampu memberi jawapan berdasarkan kemahuan pengguna tanpa melihat kepada situasi sebenar. 

“Individu ini seperti membangunkan dunia mereka sendiri dan beranggapan orang di sekeliling mereka salah dan sukar untuk menerima kenyataan,” ujarnya di HealthCare.

Situasi menjadikan chatbot AI sebagai Tuhan menunjukkan manusia sentiasa mencari makna hubungan walaupun melalui teknologi. 

Sama ada AI mampu menjadi jambatan kerohanian yang bermanfaat atau sekadar trend sementara bergantung kepada cara penggunaannya.

 Namun yang pasti, perkara tersebut telah memberi sudut pandang baharu dalam hubungan antara manusia, agama dan mesin pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN