KULIM – Kira-kira 250 penduduk di sekitar Kampung Selarong Panjang di sini gempar selepas tular rakaman suara mendakwa kelibat seekor harimau belang melintas Jalan Mahang berhampiran kawasan rumah mereka pada pagi tadi.
Rakaman suara tular itu mendakwa haiwan tersebut dilihat datang dari arah Hutan Ulu Paip menuju ke kawasan ladang kelapa sawit. Kejadian dikatakan berlaku kira-kira 400 meter dari kawasan penempatan yang menempatkan lebih 50 rumah.
Dalam rakaman berdurasi 13 saat yang tular di WhatsApp, individu terbabit mendakwa mereka terserempak dengan harimau belang melintas jalan sebelum menasihati penduduk supaya berhati-hati.
Walau bagaimanapun, tiada gambar atau video berjaya dirakam bagi mengesahkan kewujudan haiwan itu.
Seorang penduduk, Esah, 50, berkata, dia terkejut selepas mendengar rakaman tersebut dalam kumpulan WhatsApp kampung pagi ini dan kini berasa takut untuk ke kebun.
Menurutnya, kebun kelapa sawit yang sering dia pergi terletak hanya 400 meter dari rumah dan dia biasanya ke sana berjalan kaki sekitar pukul 10 pagi.
“Selalu saya pergi kebun seorang saja tetapi selepas dengar berita harimau, memang tak berani dah sebab takut jadi apa-apa,” katanya yang berharap pihak berkaitan segera membuat pemeriksaan.
Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Hajar Roslin, 29, berkata, rakaman yang dikongsi dalam kumpulan WhatsApp kampung membuatkan dia risau memikirkan keselamatan dua anak perempuannya berusia enam dan sembilan tahun yang sering bermain di luar rumah.
Jirannya, Rohaya Md. Desa, 63, pula berkata, sepanjang menetap di kampung berkenaan, itu kali pertama mendengar dakwaan kemunculan harimau di kawasan tersebut.
Peniaga santan, Aleayasak Md. Desa, 43, berkata, walaupun dia tidak melihat sendiri haiwan berkenaan, kemungkinan itu tetap ada berdasarkan kawasan berhampiran hutan.
Penduduk kampung berharap pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Malaysia (Perhilitan) dapat membuat pemantauan segera bagi memastikan keselamatan mereka terjamin serta mengelakkan sebarang insiden tidak diingini.- KOSMO! ONLINE














