GEORGE TOWN – Polis mengesahkan punca kematian seorang wanita dalam nahas membabitkan sebuah van kilang di Jalan Mount Erskine, Pulau Tikus di sini, pagi tadi adalah disebabkan kecederaan pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhamad berkata, ini berdasarkan keputusan hasil bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP), pagi ini.
“Kecederaan yang dialami mangsa pada bahagian kepala adalah konsisten dengan kemalangan jalan raya,” katanya.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 6 pagi itu semasa pemandu van kilang berusia 59 tahun sedang dalam perjalanan dari Teluk Bahang menuju ke kilang di Bayan Baru.
“Kenderaan tersebut telah hilang kawalan di Jalan Mount Erskine lalu terlanggar tembok di kanan jalan. Akibat kemalangan itu, seorang penumpang wanita warga tempatan berumur 50 tahun yang merupakan operator kilang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, kira-kira pukul 6.17 pagi.
“Selain itu, pemandu van kilang dan enam lagi wanita warga tempatan berusia 21 hingga 53 tahun juga mengalami kecederaan pelbagai tahap.
“Keadaan pemandu van kilang kini parah dan masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, pihak polis masih menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap punca kejadian berlaku dari pelbagai sudut, mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kemalangan yang berlaku,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE














