NILAI – Bagi menampung kos pengajian termasuk membeli lampin pakai buang bapanya, Norshafira Nazari, 23, graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan termasuk mengambil upah membersihkan tandas kampus sepanjang pengajian.
Norshafira yang berjaya menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat berkata, dia melakukan kerja sampingan itu berikutan bapanya terlantar kerana kanser prostat, manakala ibu, Norhayati Zakaria, 58, hanya berniaga kecil-kecilan.
Dia yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik berkata, pekerjaan pertamanya ialah sebagai pembantu kafe sebelum meneruskan kerja sambilan sebagai pekerja pasar raya di bahagian sektor makanan dan minuman.
“Saya juga pernah menjadi pemandu e-hailing, guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (Kafa) dan akhir sekali menjadi pekerja pembersihan di USIM yang bertanggungjawab mencuci tandas serta surau.
“Ketika itu niat di hati hanyalah untuk mencari pendapatan tambahan, membeli lampin pakai buang bapa yang terlantar sakit serta menampung kos pengajian. Rasa malu semuanya saya letak ke tepi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen USIM ke-23 di Dewan Tuanku Canselor di sini, semalam.
Tambah Norshafira, bekerja sebagai tukang cuci adalah paling menguji kekuatan fizikal dan emosi, namun pendapatan kecil itulah yang menyelamatkan kehidupannya ketika itu.
“Cabaran hidup saya semakin berat selepas bapa meninggal dunia dua tahun lalu sehingga menjejaskan kesihatan mental. Waktu itu keputusan pengajian saya juga merosot dan hampir berputus asa selain berniat untuk berhenti belajar.
“Namun, pesanan ibu yang menyatakan arwah bapa pasti kecewa jika saya berhenti menyedarkan saya. Kalau gagal atau tak dapat kelas pertama tak apa, yang penting habiskan ijazah. Waktu itu saya rasa, perlu bangkit menghabiskan pengajian,” ujarnya.














