PETALING JAYA – Skuad hoki lelaki negara bawah 21 tahun kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang aksi pembukaan menentang Austria esok, sekali gus memulakan misi getir dalam saingan Kumpulan E Piala Dunia Remaja 2025 di Chennai, India.
Penyertaan Malaysia dalam kumpulan yang dianggap antara ‘kumpulan maut’ bersama kuasa besar Eropah iaitu Belanda, England dan Austria menjadikan setiap perlawanan bersifat hidup mati, apatah lagi edisi kali ini menampilkan format baharu membabitkan 24 pasukan.
Kejohanan dwitahunan edisi ke-14 itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali berlangsung di dua lokasi iaitu Stadium Hoki Mayor Radhakrishnan, Chennai dan Madurai sekali gus menjanjikan suasana lebih sengit.
Dalam edisi lalu, Malaysia sekadar menamatkan kempen di tangga ke-12 daripada 16 pasukan, manakala Jerman muncul juara dan rekod itu menjadi peringatan jelas mengenai cabaran besar yang menanti Young Tigers, namun skuad muda negara dilihat hadir dengan keyakinan baharu.
Momentum positif itu hadir selepas menamatkan kempen Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 di tempat kelima, satu pencapaian yang bukan ukuran mutlak kemampuan sebenar pasukan tetapi menjadi platform penting memperkemas taktikal dan keserasian.
Aksi menentang Austria esok bakal menjadi penanda aras utama terhadap sejauh mana keberkesanan corak permainan agresif Young Tigers yang kini lebih tersusun, terutama dalam situasi satu lawan satu dan pengurusan tempo permainan.
Dalam masa sama, barisan kejurulatihan turut menekankan disiplin bertahan serta keberanian menyerang sebagai kunci kelangsungan dalam kumpulan kompetitif ini.
Dengan Belanda dan England menanti selepas Austria, skuad muda negara tidak mempunyai ruang besar untuk kesilapan.
Young Tigers akan turun membuka tirai kempen menentang Austria esok pada jam 1:45 petang waktu Malaysia. – KOSMO! ONLINE















