fbpx
Gambar hiasan

Masih ada kes seludup dadah sumbat dalam buntut lembu, babi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU- Pasukan Gerakan Am (PGA) mengesan masih terdapat kes penyeludupan ganja dan pil kuda dengan memasukkan dadah tersebut ke dalam buntut haiwan ternakan seperti lembu atau babi yang diseludup dari Thailand.

Komander Briged Tenggara, PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, modus operandi itu bukan satu taktik baharu, tetapi sudah lama digunakan oleh sindiket tersebut dan mereka meneruskan kaedah penyeludupan tersebut sehingga hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati, ganja dan pil kuda merupakan antara dadah yang disumbat di dalam buntut kedua-dua jenis haiwan tersebut.

“Haiwan ternakan yang berisi dadah itu diseludup masuk ke negara ini sebelum dibawa melalui lorong-lorong tikus di sempadan Kelantan.

“Penyeludup menggunakan taktik itu kerana mereka beranggapan anggota PGA tidak melakukan tangkapan dan pemeriksaan di dalam tubuh haiwan khususnya babi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat seorang anggota PGA, Koperal Shahrul Suliman, 42, yang cedera selepas ditembak penyeludup ketika menjalankan rondaan Ops Wawasan bersama rakan lapan tahun lalu di kuarters Batalion 8 PGA, Pengkalan Chepa di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Radzi memberitahu, selain daripada haiwan, pihaknya turut mengesan penyeludup menghanyutkan bungkusan berisi dadah merentasi Sungai Golok.

Menurutnya, PGA tidak menolak kemungkinan sindiket penyeludupan dadah tetap melakukan kegiatan mereka meskipun paras air Sungai Golok ketika ini sudah melimpah.

“Setakat ini, PGA berjaya merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM8.3 juta di Kelantan, Terengganu dan Pahang sejak Januari lalu hingga hari semalam.

“Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 281 kes dadah direkodkan melibatkan 236 tangkapan,” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, sindiket pengedaran dadah dikesan menggunakan taktik baharu dengan memasukkan dadah ke dalam buntut lembu atau kambing yang diseludup dari Thailand bagi mengelakkan kegiatan tersebut dikesan pihak polis.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan mendapati, sindiket terbabit dipercayai menyembunyikan dadah dalam usus atau buntut haiwan ternakan untuk diseludup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN