PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan nasihat lekukan tropika yang dikesan semakin menghampiri perairan Pantai Timur.
Menurut laporan yang dikeluarkan pada pukul 12.15 tengah hari tadi, lekukan berkenaan berada pada kedudukan latitud 4.0 utara dan longitud 104.0 timur, iaitu kira-kira 81 kilometer di timur laut Kuantan.
Lekukan tersebut bergerak perlahan ke arah timur laut dengan kelajuan sekitar 5 kilometer sejam dan mencatatkan kelajuan angin maksimum 56 kilometer sejam.
MetMalaysia turut memaklumkan keadaan itu boleh menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan. – KOSMO! ONLINE.














