PETALING JAYA – Tidak melupakan rutin sebelum terbabit dalam arena seni, penyanyi Hadie Elfardie tetap meneruskan sesi mengajar kanak-kanak mengaji walaupun semakin sibuk memenuhi jadual kerjaya.
Perkara itu dikongsikan ibunya, Ina Naim yang mengingatkan anak-anaknya mengenai kelebihan berkongsi ilmu serta pahala membaca al-Quran.
“Sedang kita mengejar dunia, jangan lupa akhirat selama-lamanya.
“Mengaji dan membaca nak, esok di sana menjadi teman mu, Insya-Allah,” tulisnya dalam hantaran di Instagram.
Menerusi perkongsian video berkenaan, Hadie atau nama sebenar Ehmad Hadie Elfardie, 17, bersama adiknya, Phyrosh Elfadwah membimbing sekumpulan budak berusia lingkungan empat hingga enam tahun.
Menjengah ke ruangan komen, ramai netizen memuji peserta Talk To My Manager (TTMM) itu bersama adiknya membuatkan amal jariah kepada masyarakat setempat pada usia muda.
Bahkan, ramai menyifatkan dua bersaudara itu menunjukkan contoh terpuji kepada teman sebaya malah menyatakan mereka ‘akrab’ dengan al-Quran hasil didikan bapa, Allahyarham Suhaimi Saad.
“Alhamdulillah, besar pahala Hadie dan Yosh ajar budak mengaji. Harap diteruskan,” tulis netizen.
“Bagus Hadie jadi ustaz bimbing anak kecil. Ini hasil didikan ayah,” kata pengguna laman sosial lain.
Hadie merupakan anak sulung daripada empat beradik menerusi perkahwinan Ina dengan Suhaimi juga anggota kumpulan InTeam pada 12 Ogos 2007. – KOSMO! ONLINE














