PETALING JAYA – Hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada Sabtu ini dijangka diiringi hujan lebat di hampir semua daerah apabila ramalan cuaca menunjukkan taburan hujan akan bermula sejak pagi hingga ke petang hampir di semua 53 daerah di negeri itu.
Menurut infografik dikeluarkan Jabatan Meteorologi (METMalaysia), majoriti kawasan termasuk Kudat, Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran, Putatan, Penampang, Papar dan Ranau bakal mengalami hujan berterusan sepanjang hari.
Daerah utama seperti Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Lahad Datu serta Semporna turut diramal hujan dari pagi hingga ke petang.
Beberapa kawasan pedalaman seperti Keningau, Tambunan, Nabawan, Sook dan Tenom juga mencatatkan ramalan hujan serta ribut petir, terutama pada waktu petang.
Wilayah timur Sabah menyaksikan keadaan hampir sama apabila Tongod, Kinabatangan, Beluran, Telupid dan Paitan turut menunjukkan corak cuaca hujan sepanjang hari tanpa sebarang tanda cerah.
Hanya dua daerah sahaja iaitu Nabawan dan Tongod dijangka cerah pada sebelah pagi sebelum hujan kembali melanda pada petang. – KOSMO! ONLINE.















