PETALING JAYA – Sebanyak 49 fasiliti kesihatan di seluruh negara terjejas akibat banjir termasuk tiga yang tidak dapat beroperasi sepenuhnya di Perlis setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 19 lagi fasiliti kesihatan terbabit ditutup dan operasi dipindahkan, manakala 27 lagi masih beroperasi dengan pelarasan.
“Sebanyak 345 pasukan perubatan dan kesihatan telah digerakkan ke kawasan terjejas. Sebanyak 2,083 mangsa telah mendapat rawatan setakat ini.
“Jangkitan saluran pernafasan sebanyak 376 kes, jangkitan kulit (92 kes), gastroenteritis akut/cirit-birit (15 kes) dan konjunktivitis/sakit mata sebanyak empat kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dzulkefly berkata, tiada wabak dikesan di mana-mana pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini dan dua kematian berkaitan banjir dilaporkan di Kelantan.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan mangsa banjir supaya mengelak kawasan berarus deras dan jangan merentas air banjir.
Kata beliau, mangsa banjir perlu minum air dan makanan yang bersih serta menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan.
“Dapatkan rawatan segera jika mengalami gejala penyakit seperti demam, muntah, cirit-birit atau jangkitan kulit,” katanya. – KOSMO! ONLINE















