fbpx
Tangkap layar rakaman CCTV yang berjaya mengesan kelibat suspek kes curi beg tangan jemaah wanita di Masjid Gong Mak Som, Kampung Raja, Besut baru-baru ini.

Lelaki berkain pelekat biru ‘rembat’ dua beg jemaah wanita ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BESUT – Seorang lelaki diberkas polis bagi membantu siasatan dakwaan mencuri barangan peribadi sewaktu ahli kariah sedang mendirikan solat berjemaah di sekurang-kurangnya dua masjid di daerah ini.

Suspek berusia 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Dor, Jerteh di sini pada pukul 7.20 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, tangkapan tersebut berikutan aduan dibuat ahli kariah Masjid Gong Mak Som, Kampung Raja di sini pada pukul 8.27 malam, Selasa lalu.

“Dua beg milik ahli kariah wanita yang bersolat isyak secara berjemaah di masjid terbabit didakwa telah dilarikan suspek pada hari tersebut.

“Sewaktu kejadian, beg-beg berkenaan telah diletakkan di belakang mangsa,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Azamuddin berkata, semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) masjid tersebut berjaya mengesan kelibat lelaki dipercayai suspek.

Beliau berkata, berdasarkan rakaman CCTV terbabit, suspek telah memasuki ruangan solat jemaah wanita sebelum mencuri beg milik mangsa.

“Soal siasat awal suspek mengaku terlibat mencuri bukan sahaja di Masjid Gong Mak Som malah sebuah masjid lain di Jerteh.

“Serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Tok Dor berjaya menemui dua beg tangan, seutas tasbih, satu beg kecil berzip, empat buah buku dan tiga rangkai kunci,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN