PETALING JAYA – Enggan memalukan diri, pelakon Lufya Omar menarik semula tuntutan nafkah anak yang difailkan terhadap bekas suaminya, Dr Che Hafiz selepas merasakan tiada lagi jalan penyelesaian untuk mendapatkan hak puterinya.
Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 40, berkata dia tidak mahu bergaduh selepas bapa kepada anaknya itu tetap culas melunaskan tanggungjawab atas alasan kurang berkemampuan.
“Saya menarik diri untuk membuat tuntutan nafkah anak kerana sangat memalukan untuk bergaduh tentang perkara itu dengan dia (bekas suami).
“Peguam saya sangat hebat. Tetapi satu perkara, fikirlah dengan baik apabila awak berkata awak tidak mampu dan mahu melawan saya secara habis-habisan.
“Tidak mengapa. Saya cukup gembira untuk ‘melepaskan’ awak daripada tanggungjawab (nafkah) awak itu,” katanya dalam hantaran di Instagram Story.
Menerusi perkongsian sama, Lufya juga menyertakan foto dengan pasukan peguamnya termasuk Fakhrul Azman Abu Hasan.
Pada masa sama, pelakon drama Bila Hati Telah Hitam itu juga menyatakan hanya menunggu akhirat nanti atas perjuangan menuntut hak anaknya, Laana Haura.
“Alhamdulillah, ada seseorang yang banyak berhutang dengan saya di dunia dan akhirat.
“Semoga ibumu masuk syurga Laana Haura asbab berjuang sendiri,” tulisnya lagi
Terdahulu, Lufya juga pernah membuat tuntutan mutaah sebanyak RM1 juta terhadap bekas suaminya di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor untuk simpanan anak mereka menyambung pelajaran di peringkat universiti kelak.
Lufya mendirikan rumah tangga dengan Dr Che Hafiz pada 26 November 2016 dan dikurniakan Laana Haura yang kini berusia lapan tahun.
Bagaimanapun, pasangan terbabit bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Shah Alam pada 17 Jun 2020.
Dr Che Hafiz kemudian berkahwin dengan pelakon, Julia Farhana pada 14 Disember 2022. – KOSMO! ONLINE















