ALOR GAJAH – Kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat di Taman Bidara Permai semalam ditemui lemas kira-kira 600 meter dari lokasi kejadian.
Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, mayat mangsa ditemui pada pukul 8.35 malam dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok yang tersekat di dalam longkang berkenaan.
“Satu mayat kanak-kanak lelaki dipercayai mangsa ditemui tersangkut pada dahan pokok yang tersekat di dalam longkang pada jarak 600 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.
“Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut termasuk pengesahan identiti,” katanya kepada pemberita malam tadi.
Mengulas lanjut beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat selama dua jam setengah itu dilakukan 10 anggota Penyelam Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah dan Melaka Tengah.
“Kita menggunakan kaedah penggerakan pantas untuk pasukan PPDA disebabkan paras air tinggi dan deras.
“Pencarian perlu dimulakan di permukaan air untuk mengelakkan mangsa bergerak lebih jauh, sekali gus radius pencarian bertambah luas,” jelasnya.
Terdahulu, Kosmo! malam tadi melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dikhuatiri lemas selepas dilaporkan terjatuh ke dalam longkang dan dihanyutkan arus deras di Taman Bidara Permai, di sini kira-kira pukul 5.45 petang.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa telah dilakukan pasukan bomba meliputi kawasan tadahan air berhampiran.- KOSMO! ONLINE















