fbpx
Gambar hiasan.

Selangor siap siaga, sedia 1,173 PPS hadapi ribut tropika Senyar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Selangor kini berada dalam mod kesiapsiagaan penuh menghadapi ribut tropika Senyar termasuk penyediaan 1,173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi menempatkan sehingga 244,000 mangsa banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semua jentera di peringkat negeri, daerah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diaktifkan sebagai persediaan menghadapi situasi cuaca mencabar itu.

Katanya, ia susulan kali pertama Selangor berhadapan dengan ribut tropika itu yang mampu mencapai kelajuan sehingga 50 kilometer sejam dan membawa hujan lebat berterusan sekurang-kurangnya hingga Sabtu ini.

“Sebanyak 1,173 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negeri berada dalam mod siap sedia untuk digunakan yang mampu memberi tempah berteduh sehingga 244,000 penduduk.

“Ini termasuk sekolah, masjid, dewan serta balairaya dengan semua PPS ini dilengkapi dengan keperluan asas yang sewajarnya,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurut beliau, sebanyak 344 jentera termasuk pacuan empat roda dan lori muatan berat serta 227 unit bot turut ditempatkan di kawasan strategik untuk tujuan penghantaran bantuan kecemasan dan operasi mencari serta menyelamat.

“Saya telah mengarahkan pemeriksaan keselamatan dilakukan ke atas semua kenderaan ini supaya bersedia dikerah untuk menghadapi sebarang situasi kecemasan.” jelasnya.

Amirudin memaklumkan Selangor turut mempunyai 45 stesen amaran siren yang akan diaktifkan sekiranya paras air dijangka mencapai tahap bahaya.

“Justeru, penduduk di Selangor diminta untuk mematuhi setiap arahan pemindahan yang dikeluarkan pihak berkuasa.

“Sekiranya siren dibunyikan dan arahan pemindahan diberikan, patuhi segera dan daftarkan diri sekeluarga di PPS berdekatan. Keutamaan adalah keselamatan setiap warga Selangor,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN