KANGAR – Proses penilaian tahap kerosakan sekolah akibat banjir dipercepatkan supaya kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan sebelum sesi persekolahan baharu bermula.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penilaian segera dilakukan kerana banyak kemudahan asas di sekolah terkesan dan tidak boleh digunakan.
“Banjir kali ini memberi impak besar kepada institusi pendidikan dan menjejaskan infrastruktur utama khususnya di aras bawah bangunan.
“Kerosakan melibatkan bengkel, makmal komputer, dewan sukan serta beberapa ruang pembelajaran yang perlu dibaiki segera,” katanya selepas meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Changkat Jawi di sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian turut membuat persiapan menghadapi kemungkinan gelombang kedua banjir melalui penyelarasan rapi dengan agensi keselamatan.
“Ops Payung membantu kita membuat keputusan pemindahan, pembukaan PPS dan memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia tidak terkesan dengan situasi banjir,” ujarnya.
Katanya lagi, berhubung pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), ia akan diteruskan kerana itu pilihan yang telah dipersetujui sekolah dan tidak menimbulkan masalah.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina turut menghulurkan sumbangan kepada ahli keluarga wartawan Astro Awani, Allahyarham Mohamad Asri Shafii yang meninggal dunia ketika pulang membuat liputan banjir semalam. – KOSMO! ONLINE















