KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan pada 2013 membatalkan saman sivil difailkan 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada golongan itu seperti terkandung dalam manifesto pembangkang semasa Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2008 memberi gambaran manifesto tidak dikuatkuasakan secara sah.
Dalam konteks ini, manifesto sesebuah pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) hanyalah sebuah bentuk janji dikeluarkan parti politik, dan ia tidak terikat dengan mana-mana kuasa undang-undang.
Jadi, tidak terlalu kasar untuk mengatakan bahawa pengundi perlu lebih berhati-hati dengan janji manis dikeluarkan mana-mana ahli atau parti politik berikutan status manifesto itu yang tidak ‘terikat’.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Prof. Madya Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, golongan pengundi tidak boleh menggunakan saluran undang-undang untuk memastikan manifesto kekal dilaksanakan.
“Maknanya, jika pihak mengeluarkan manifesto tidak melaksanakan janji manis mereka, agak sukar untuk pengundi mengunakan saluran undang-undang bagi memastikan janji itu ditepati,” katanya baru-baru ini.
Dr. Muzaffar berkata, ketiadaan kuasa undang-undang terhadap manifesto pilihan raya akan menyebabkan ahli politik mudah melemparkan apa saja janji manis ketika menjalankan kempen mereka.
“Berdasarkan kedudukan manifesto yang tidak diikat dengan kuasa undang-undang, maka sukar untuk pengundi meminta memenangi pilihan raya memenuhi segala janji manis yang dibuat.
“Jadi, melihat kepada keadaan itu, pengundi harus berhati- hati ketika menerima segala janji manis yang dibuat semasa berkempen.
“Rakyat juga tidak boleh memberi sepenuh kepercayaan terhadap segala janji manis yang dilemparkan melalui manifesto pilihan raya berkenaan,” katanya.
Berdasarkan situasi itu, pastinya kumpulan rakyat yang menjadi tonggak demokrasi sentiasa berharap agar manifesto yang dibuat ketika berkempen dapat direalisasikan oleh calon terlibat.
Mana-mana calon yang memenangi proses itu termasuk PRN Sabah yang berlangsung Sabtu ini harus bertanggungjawab terhadap semua janji yang dibuat.
“Sebenarnya agak menyedihkan sekiranya sebarang janji manis yang dibuat menerusi manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh calok bertanding.
“Tindakan melengah atau tidak memenuhi janji juga jelas menunjukan sikap tidak hormat terhadap pengundi yang memberi kepercayaan terhadap mereka untuk memimpin,” katanya.
Dr. Muzaffar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) boleh mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu terbabit termasuk
mewujudkan jawatankuasa khas bagi mengkaji pemberian kuasa undang-undang terhadap manifesto pilihan raya
“Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada berkaitan dengan proses pilihanraya dalam negar seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 [Akta 5],” katanya.














