KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa berhubung dengan rakan sejawatnya di Thailand bertanyakan tentang keadaan rakyat Malaysia yang terkandas akibat banjir di negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia mendapat banyak bantuan dan pertolongan yang amat baik daripada pihak berkuasa Thailand.
“Perdana Menteri kita sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri Thailand bertanyakan khabar rakyat kita yang terperangkap di sana,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Wong Shu Qi (PH-Kluang) mengenai usaha kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di Selatan Thailand akibat banjir.
Mohamad berkata, usaha menyelamatkan rakyat negara ini yang terkandas di Thailand akibat banjir memang dilakukan oleh kerajaan Malaysia.
Menurutnya, beliau malah menghubungi rakan sejawatnya di Thailand menawarkan pasukan penyelamat dari Malaysia untuk membantu.
“Saya menelefon rakan sejawat bertanyakan sama ada memerlukan bantuan pasukan penyelamat daripada malaysia.
“Beliau bagaimanapun menyatakan bahawa keadaan dapat diuruskan oleh mereka,” katanya.
Jelasnya, beliau namun dimaklumkan terdapat ramai sukarelawan Malaysia dari Perlis, Kedah dan utara Perak pergi ke negara tersebut bagi memberi bantuan. – KOSMO! ONLINE














