ALOR SETAR – Sebuah restoran yang terjejas banjir di Kampung Suka Menanti di sini mengagihkan 200 pek makanan berupa cucur udang dan roti bakar semalam.
Menurut Mohd. Faizal Jamaluddin, 37, anak kepada pemilik Warung Pak Din One Dollar, pihaknya bermula dengan menyediakan roti bakar dan cucur udang yang diagihkan kepada penduduk berdekatan dalam tempoh sejam.
Katanya, bantuan makanan akan terus diberikan sehingga bekalan bahan mentah habis dimasak.
“Agihan ini akan diteruskan sehingga banjir surut dan kami menjangkakan mungkin seminggu juga seperti tahun sebelum ini.
“Rugi memanglah sebab tidak dapat berniaga tetapi kami reda dan berharap dengan sedekah ini kami dapat rezeki lain pula nanti,” katanya di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan bahawa seperti satu tradisi, sebuah restoran di Kampung Suka Menanti di sini akan mengagihkan makanan kepada penduduk setempat yang terjejas akibat banjir yang melanda kawasan itu ketika ini.
Anak kepada pemilik Warung Pak Din One Dollar itu berkata, pihaknya akan memasak semua bahan mentah yang masih ada dan makanan tersebut akan disumbangkan kepada mangsa banjir. – KOSMO! ONLINE















