PETALING JAYA – Ribut Tropika (Senyar) dikesan pada kedudukan 3.6°U 99.9°T di utara Sumatera dan 102 kilometer (km) ke barat daya Lumut, Perak, kini sedang bergerak ke arah timur tenggara memasuki perairan Selat Melaka menuju ke barat Semenanjung dengan kelajuan sekitar 24 km/j.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Dr. Mohd. Hisham Mohd. Anip berkata, keadaan ini berpotensi menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Semenanjung Malaysia, khususnya negeri-negeri barat dan tengah Semenanjung mulai hari ini.
“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengemas kini Amaran Ribut Tropika, Amaran Hujan Berterusan serta Amaran Angin Kencang dan Laut Bergelora bagi negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor berkuat kuasa dari hari ini hingga Sabtu.
“MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ribut tropika ini dan mengemas kini maklumat berdasarkan keadaan semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengikuti maklumat, ramalan serta amaran cuaca terkini melalui laman web MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial rasmi dan talian hotline 1-300-22-1638.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk (jingga) di beberapa negeri di Semenanjung Malaysia sehingga 29 November ini.
Menurut MetMalaysia, negeri-negeri yang terlibat adalah seluruh Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Perak dan Terengganu.
Di Kedah, kawasan yang dijangka dilanda hujan berterusan adalah di Kulim dan Bandar Baharu, manakala Pahang pula di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub dan Bentong.
Amaran hujan berterusan tahap waspada (kuning) turut dijangka berlaku di seluruh Kelantan, Melaka dan Negeri Sembilan, selain Pahang di daerah Jerantut, Temerloh, Maran Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin. Di Johor pula, cuaca sama dijangka melanda Tangkak dan Segamat. – KOSMO! ONLINE















